Sunday, October 31, 2010

Mereka Juga Hidup


Telah beberapa hari ini saya memikirkan tentang sebuah pengisian seorang sahabat. Tuturnya bahawa kesedihan dan kegembiraan itu juga adalah makhluk. Saya sedar akan itu, cuma sering terlupa akannya. Manusia yang tak sempurna.

Itulah saya, seperti kamu juga.Saya redha hakikat ini. Sebab itulah kedudukan kita di sisiNya. Perlukan pertolongan-Nya setiap detik dalam memenuhi ketidaksempurnaan.Bahkan ia diakui pengkaji psikologi Barat, mengenai the actualizing tendency in human(Broadley,1999)

Bila berbicara tentang makhluk, bererti ia adalah tentang satu organisma yang mengalami perkembangan pertumbuhan. Samada jasad mahupun emosinya. Jika makhluk itu manusia, maka perkembangannya akan bermula didalam alam roh (rahim) hinggalah bebas merdeka sebagai khalifah di dunia.

Friday, October 15, 2010

Angka akhirat


Syurga ,
neraka itu
hanya angka-angka

syurga
angka pertama
neraka pula
angka terakhir...

cuma.
sampai bila hendak
mengejar angka?

OSC, 11.59 AM 09 DZULKAEDAH 1431 H

Saturday, October 2, 2010

Cerpen: Cahaya Dhuha



Jam hampir ke angka lapan pagi. Bergegas Hulwah ke bilik air untuk mengambil wuduk. Terasa damainya jiwa pabila siraman air wuduk mengenai pancainderanya. Rasa semakin tidak sabar untuk bertemu dengan cintanya. Perlahan Hulwah memakai telekung buatan Indonesia yang dihadiahkan oleh lelaki yang menjadi suaminya, hadiah sempena pertunangan .

“Ya Allah, janganlah Kau biarkan aku rasa berputus asa untuk terus berdoa kepadaMu. Berilah aku kekuatan untuk terus memohon upaya dariMu, meskipun hati terasa jenuh meraih keizinan Mu”. Begitu sayu hati Hulwah di hujung sujud Dhuhanya.

Sunday, September 19, 2010

Mukmin asli



Jiwa mukmin dalam pandanganku adalah seperti jiwa
Salman al-Farisi
yang berzikir dan berwirid tetapi pedang telah dicabut dari sarungnya
dan diletakkan di atas ribanya,
sedangkan matanya liar melihat kalau-kalau ada musuh melintas.

Ilmu bagi mukmin perlulah luas seperti ilmu al-Ghazali.
Keberaniannya setanding Salahuddin al-Ayubi.
Strateginya seperti strategi Saiyidina Umar al-Khattab yang menumpaskan
Rom dan Parsi.

Mukmin asli bukanlah orang yang hanya diam didalam gua batu.
Tetapi ia seperti Ibnu Batutah yang menjelajah dunia.
Dan berjalan gagah seperti Saab bin Abi Waqas.
Gertaknya seperti gertak Sultan Muhammad al-Fateh,
serta
lemah lembutnya seperti lemah lembut Sayidina Uthman r.a

Itulah mukmin yang bangun berjuang
yang tidak pernah tunduk sistem Taghut
yang berjiwa besar dan penuh bertenaga
membangunkan diri dan ummah.

Friday, September 17, 2010

Pilih ceria atau kecewa?



Fa-man sya'a fal-yu'min, wa man sya'a fal-yakfur (Siapa yang mahu beriman, dipersilakan. Siapa yang mahu ingkar, pun dipersilakan) Al-Kahfi: 29

Cantik terjemahan ayat ini, pemberi jawapan terbaik kepada manusia. Cuma bergantung kepada kita sejauh mana memanfaatkannya seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT dan sebagaimana yang disarankan Rasulullah.

Persoalannya. Kita nak pilih gembira atau kecewa. Kedua-duanya terletak didalam tangan. Samada mahu menggembirakan diri sendiri ataupun ,mahu terus kecewa dan derita.Cuba tengok tapak tangan masing-masing. Cuba bayangkan, terdapatnya perkataan SEDIH atau GEMBIRA pula diatas telapak tangan. Kemudian genggam erat-erat tangan dan buka ia semula. Adakah masih wujud salah satu daripada dua perkataan itu? Jika benar, masihkah perkataan gembira atau sedih? Jika gembira, maka berbahagialah. Namun, jika sedih maka rugilah.

Tetapi,biar apa pun perkataannya hakikatnya penentuan untuk memilih GEMBIRA atau SEDIH itu adalah sebenarnya yang telah ditetapkan oleh AKAL yang pemandunya adalah HATI serta NAFSU.
Sekaligus memaknakan bahawa KITA sendiri yang menetapkan apa yang berlaku kepada diri sendiri dengan keizinan Allah SWT melalui qada dan qadarnya.
"Demikian itu disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan sesungguhnya Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya"
Ali-Imran : 182


Maka setiap perbuatan yang kita lakukan adalah tanggungjawab kita sendiri. Nak ceria dan suram adalah pilihan sendiri, samada bijak buat pilihan atau tidak sahaja.
Pilih untuk gembira walaupun batin dilanda penderitaan, maka terhasil lah aura positif yang melahirkan tindak tanduk bahagia dalam perbuatan dan percakapan. Sekaligus akan merangsang nur ceria kepada orang lain. Bahkan mendorong kita untuk terus tabah dalam kehidupan dan ibadah.

Tetapi jika pilih kecewa dan suram, maka aura negatif terbetuk. Wajah yang masam dan tidak bersemangat akan mematikan langkah ke arah kejayaan dan kebahagiaan. Hidup mula menjadi tidak teratur dan hilang fokus pada matlamat hidup. Hasilnya, individu bermasalah yang lesu dan beralasan.

Begitu juga berbuat baik dan berbuat buruk. Berbuat baik jalannya ke syurga dan kemenangan, kalau berbuat buruk pula jalan nya tentu ke arah kehancuran dan kebinasaan ataupun ke lorong menuju neraka. Seperti firmanNya : " Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu.Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh dia memperoleh kemenangan.(Ali-Imran:185)"

Oleh itu, semuanya bergantung kepada kita dalam merencanakan perjalanan kehidupan, dunia mahupun akhirat.. Jika kita jadikan dunia ladang ke akhirat, kita akan berusaha menuai dan bercucuk tanam 'disini' untuk mendapatkan hasilnya 'disana'. Hasilnya bahagia atau derita semuanya berada dalam minda dan akal yang telah dianugerahkan Allah. Cuma terpulang pada diri sendiri.

Berusaha ceria melalui panduanNya, al-Quran, akan menghidupkan hati dan jiwa. Bahagia dunia, iaitu ketenangan pun dapat,dan akhirat pun dapat.

Cuma tinggal mahu atau tidak.Berusaha atau tak. Dan samada berdoa atau hanya berharap.Semuanya kembali kedalam diri sendiri...

Tuesday, September 7, 2010

Berkesempatan kah aku?


Sahabatku bertanya,
Malam ini malam ganjilkah?
Hari ganjil ramadhan
dalam menjejak lailatulqadar....

Ah.
Bagiku itu tidak penting.
Aku tidak membilang waktu
Malah aku langsung tidak mahu mengetahuinya
Yang ku rasakan aku mesti lakukan
Tanpa henti

Aku tidak kisah apa pun
asalkan aku berpeluang bersamaNya
Langsung tidak hirau
aku berada di penghujung waktu

Cuma yang bergetar di hati
Berkesempatan kah lagi aku bertemu dengan RamadhanMu kelak?
dan bersarang dijiwa
Tekad istiqamah, aku perlu teruskan..

Aku hanya tahu,
kesedihanku kepada peluangku bersama Tuhanku

Aku tahu
Bahagianya aku tatkala di akhir waktu ini

dan aku tahu sekarang
segalanya yang ku lakukan adalah ibadah padaMu
sekarang ini, selepas ini mahupun seterusnya.

Hikmah cintaMU yang sukar aku ungkaikan
sukar untuk ku susun ia menjadi ayat dan perkataan
mungkin subjektif dan objektif bagi kamu

Tidak peduli lah apa istilahnya dan dimanakah waktuku berada
Yang ku tahu
Sapaan Mu Ilahi yang tetap
terus ku jejaki...
dengan persoalan yang sering mengekori
berkesempatan kah aku?

Wednesday, August 18, 2010

Cukupkah sekadar berpuasa?



Ramadhan kali ini, aku nak khatam al-Quran. Ya yakin boleh!

Dah start puasa. Hmm, kali ini aku akan bersungguh tinggalkan perkara-perkara lagho, contoh perbualan tidak berfaedah di facebook, dan menonton televisyen. Pasti boleh!
____________________________________________________________________________________

Mungkin anda pernah dengar ayat seperti diatas bukan? Tidak kiralah samada daripada mulut orang lain mahupun kata hati anda sendiri. Berazam sempena kedatangan bulan penuh barokah.

Namun sayangnya, azam ini hanyalah manifestasi kata-kata tetapi bukannya tindakan.
Pernah anda berkata aku nak buat itu, nak buat ini, dan akhirnya lain yang anda lakukan. Apa yang diperkatakan tidak sama dengan apa yang dilakukan.Sedangkan Allah sangat membenci sesiapa yang mengatakan sesuatu yang tidak dikerjakan.

Kenapa? Masih jadi begini?

Pertama sebab NAFSU yang masih menapak didalam diri.
Kedua ketulusan NIAT dan kesungguhan yang dicemari dengan maksiat.
Ketiga kekurangan kekuatan ISTIQAMAH terhadap apa yang diazamkan.

Nafsu dalam diri.Ya, musuh kita selepas syaitan. Masih bersama walaupun sahabatnya dirantai sempena ramadhan. Nafsu yang telah 'dilatih' oleh jurulatih-jurulatih neraka sebelum ini. Tidak perlu kepada bantuan mereka, NAFSU sudah berdikari sendiri walaupun rahmat Allah tidak terhijab di bulan mulia ini. Itu sebabnya kenapa kemungkaran masih berleluasa walaupun melangkah kedalam bulan pesta ibadah.

Kerana latihan sebelum ini membiasakan kita. Ghibah dan perbincangan perkara-perkara melalaikan telah menjadi rutin sebelum ini akibat godaan syaitan jurulatih terlatih yang tidak jemu mendekati dan menyesatkan manusia.Sesat dalam nafsu sendiri dan akhirnya keliru dalam melawan diri untuk memaksa hati beribadah kepadaNya...Kemudian timbul pula perasaan hairan semakin susah pula menguatkan mujahadah di waktu free dari godaan macam ini. Pelik bukan?
Sepatutnya, ramadhan adalah bulan recharge tenaga untuk sistem imuniti bagi 11 bulan yang seterusnya.

Namun, berapa ramai kah dikalangan kita menghayati pengertian puasa? Dan adakah kita
benar-benar beradab melaluinya? Sabar mendepani tugasan kuliah dan kepenatan berjalan kaki menuntut ilmu? Sedangkan Rasulullah SAW menyifatkan puasa itu adalah separuh daripada kesabaran.

Jauhkah kita daripada perkara-perkara maksiat seperti mengumpat dan mengeji yang bisa menarik sakinah dihati...

Sudahkah kita membaca dan mentadabbur alQuran dan mengalunkan zikir-zikir penguat hati menghadapi pancaroba puasa.

dan pernahkah terdetik dan terfikir hikmah dan ibrah ibadat puasa yang totalitasnya boleh diambil dari sirah nabi.. Sirah perjuangan sahabat Nabi yang tetap mampu mengangkat pedang di tanah Badar? Sedangkan kita hanya berjihad dengan pena dan minda, yang cuma membutuhkan sedikit tenaga.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang mu'min, dari diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah lalu membunuh atau terbunuh , (sebagai) janji yang benar dari Allah d didalam Taurat, Injiln dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, demikian itulah kemenangan yang agung." (Surah al-Taubah :111)

Maka tepuklah dada tanya minda...Apakah NIAT mu pada awalnya...

Dan niat ..sejauh mana ketulusan NIAT dan kesungguhan kita melindunginya daripada dicemari dengan maksiat. Maksiat hati yang bersumberkan daripada Facebook, mesej telefon bimbit dan juga sumber teknologi yang lain.

Betapa mudahnya hati dimasuki jangkitan maksiat yang sukar dikesan dengan keimanan yang sering turun naik.Hal ini disebabkan pertolongan Nafsu yang membenarkan setiap tindakan yang lalai dan bertentangan syariat. Maka wujudlah self defend mechanism sebagai gunung alasan. Alasan yang menghalalkan tindak tanduk Facebook seperti berchatting,berkongsi pendapat yang mengundang persengketaan dan melihat gambar-gambar yang bukan mahram dengan niat berseronok-seronok.

Akhirnya tercemar lah Niat Ramadhan yang pada awalnya berniat untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa. Bahkan sebaliknya tamat dengan niat yang dikotori dengan mazmummah yang melekat. Yang pastinya akan mencacatkan perjalanan mujahadah yang seterusnya.

Realiti umat yang yang penuh sifat pentingkan diri hasad dengki dan riya'..
Kesudahannya kita masuk dengan baki dosa sebanyak 56 % dan keluar dari bulan ramadhan dengan penambahan kepada 78% .. Kesan daripada 'kalah' dengan nafsu yang bertopengkan sifat diri yang rasa sukar di ubah. Sedangkan hendak menjadi umat cemerlang , perlu lah ada sikap mencabar diri sendiri dalam mengejar cinta Tuhan.

Itulah peranan ISTIQAMAH dan kekuatan Hati dalam mengkonsistenkan niat dan amal.
Perlu ada kesungguhan dalam setiap perkara. Dan bukannya melayan kelemahan diri. Misalnya untuk istiqamah iftar secara jamie dan solat tarawih di surau mahupun masjid.

Berusaha untuk melakukannya walaupun rasa letih memuncak dalam diri. Melainkan betul-betul ada kekangan yang tidak mampu dielakkan.
Begitu juga memaksimumkan gurauan dalam percakapan biarpun mulut seperti rasa tidak mampu menahan daripada pertuturan yang melucukan.

Begitu juga dengan belajar. Sukar untuk mengembalikan momentum semangat untuk mendasyatkan usaha dalam merealisasikan cita-cita mahupun harapan keluarga. Ya, kadang-kadang kita terlupa cita-cita keluarga kita terhadap kita. Cita dan angan mereka yang telah dipasang sejak kita masih kecil kaki sebesar dua telapak jari hinggalah menginjakkan kaki ke universiti. Istiqamah dalam perjuangan akademik.

Kadang-kadang kita kabur dengan kesukaran dan kesedihan yang berlaku disekeliling, dan akibatnya kita hilang arah tuju. Hakikatnya, di usia sebegini kita sudah bisa menetapkan matlamat untuk diri sendiri dan keluarga kita. Kerana hendak menjadi muslim hebat memerlukan usaha kuat pada awalnya. Bukannya berusaha kelak ataupun sampai masanya. Kerana usaha dan istiqamah inilah yang akan membuahkan kemanisan pada akhirnya. Lebih-lebih jika ia berlandaskan keimanan kepada Allah SWT. Pasti nikmat itu akan berlanjutan hinggalah ke hari pertemuan denganNya.

Nah! Ramadhan ini lah masa muhasabah kembali. Bukan sahaja meneliti jadual ibadah kita. Tapi juga seluruh kehidupan kita, kerana islam itu syumul. Tempoh mengoreksi diri sendiri yang telah Allah sediakan secara khusus kepada kita. Bulan melihat apakah khabar hubungan kita dengan Allah? Dengan keluarga? Akademik? Sahabat? dan akhlak kita.

Maka bersegeralah pupuk semula kesungguhan, untuk mengoptimunkan usaha dan langsung ISTIQAMAH. Kekuatan umat islam itu bukan pada kebijaksanan sahaja tetapi kolobarasi inside strength to outside action.


Akhirnya kawal lah nafsu dan bersihkan niat untuk mengekalkan istiqamah..

Monday, August 16, 2010

Getir ??



Masih rasa getir dan gentar?
Rasa putus asa? Berseorangan di jalan ini?

Sedarlah diri, nafsu dan syaitan bisa menganggumu…
Cuba mengugah semangat dan kekuatanmu..
Melemahkan sifat istiqamah yang sering turun naik…
Gangguan yang tidak akan berakhir hingga kiamat.
Itu janji Iblis pada anak Adam…

Jadi mengapa membiarkan kelemahan itu menguasaimu?
Sedangkan hakikat terbentang di hadapan..
Walaupun sepahit mana hakikat itu, namun itulah ketetapanNya..

Tidak kah engkau diri mengenali Khaliqmu?
Al-Nur? Al-Fattah? Al-Tawwab? Al-Hadi? Al-Ghaffar…
Yang sering engkau akui tapi tidak engkau selami..
Betapa Allah itu sedia di sisimu..
Tidak pernah letih mendekatimu..
Cuma kau tidak sedari kerana kecewamu pada fitrah diri..
Sedangkan Dia lah Al-Basit, Al-Rafi’ dan Al-Adl..

Fitrah yang menjadi hujahmu itu hanyalah fatamorgana dunia..
Walhal kekuatan itu terletak di Hati yang diikat pada tali Tuhan.
Kebergantungan mu kepada Nya yang menentukan taraf
Keterikatan hati..

Terikat kejernihan hati yang lahir dari cecahnya dahi ke pangkuan Ilahi,
Serta ringannya tapak tangan diangkat kepada yang Maha Esa..
Bersama titisan air mata sesalan dosa yang tak pernah berhenti.
Cukup, berhentilah memandang persekitaranmu, teruskan ke
destinasi cinta terkahir yang pasti..

Friday, August 6, 2010

Disebalik rasa...


Merasai sesuatu dengan hati bukannya dengan kekuatan fikiran yang keluar dari andaian semata-mata. Jika bersihnya hati maka sudah tentulah biasnya cahaya itu dari sudut yang benar. Tetapi jika selalu dikotori maka wujudlah seribu prasangka yang membawa kepada dosa. Ukurannya ialah pada HATI. Dari itu, mengambil sikap curiga pada telahan hati sendiri itu lebih selamat. Kita curiga tentang sesuatu yang dibentangkan kerana kita bimbang ianya merupakan sebuah rasa yang telah salah. Apa pun yang penting bersihkan hati, sehingga ia melahirkan cahaya yakin pada setiap bicaranya. Sekiranya yakin itu sudah menguasai diri sesudah ia cuba menafikan sesuatu hal yang buruk maka benarlah itu adalah petunjuk dari Tuhannya. Allah SWT menjadi pembimbing kepada orang yang beriman dan mengeluarkan dirinya dari kegelapan kepada cahaya. Misalnya seperti Allah SWT mendatangkan rasa bahagia dihati hambaNya tatkala ia melakukan apa jua ibadah. Kita mampu melakukan hal-hal yang zahir tetapi atas urusan hati semuanya kembali kepada Allah SWT yang menentukan.

Mintalah kepada Allah SWT ,nescaya kita akan memperolehinya, kerana Allah sahaja yang berhak mengagihkan redha kepada sekalian alam. Allah tidak ada sekutu dengan sesuatu dalam hak keagunganNya dan tidak ada sekutu dengan sesuatu ketika memberikan sesuatu nikmat. Malahan jika Dia mencabut nikmat itu tidak ada sesiapa yang mampu memberikannya.

Dimana sahaja wajahmu dihadapkan disitulah wujudnya Allah SWT sehingga ketika matamu terpejam dari melihat hakikat realiti dihadapanmu itu jua adalah tanda wujudnya Allah SWT. Kalau tidak, masakan orang buta juga beriman dengan sesungguhnya? Bahkan, kadangkala dengan mata yang terpejam lebih cepat hati itu merasai kerana ia tidak terpengaruh dengan lukisan dihadapannya. Jika ia mampu melihat sesuatu itu dengan pandangan disebalik sebuah objek maka itu lebih baik.Dimana kita hanya akan berfikir tentang Allah, tentang kekuasaanNya,serta tentang pentas dunia yang akan dilabuhkan tirai kehidupannya. Maka dari situlah kita akan membangunkan sebuah rasa kebergantungan dengan maha pencipta sambil menafikan semua kehadiran yang lain dihatinya.

Disini, kita akan tidak pernah merasa kesepian dalam keseorangan dan juga tidak rasa lupa dalam keramaian sehinggakan benar-benar ia takut hatinya tidak lagi dapat mendampingi Tuhannya. Begitulah perjalanan hati yang sentiasa menanti dan mengharap sapaan Tuhannya. Ia dapat merasai kesemuanya itu walaupun sukar padanya mengungkapkan sebuah rahsia cinta antara hamba dengan Tuhannya.

Dia mencintai semua orang yang sama-sama berjalan diatas jalan yang sama meskipun memiliki cara yang berbeza, kerana jelas padanya semestinya semua orang mencari jalan yang membawa petunjuk.

Rasa ingin kepada petunjuk itupun satu anugerah yang ditentukan Allah. Kecuali dia lari dari petunjuk kerana fatamorgana yang tidak upaya hatinya menolaknya. Itupun sesudah datang ingatan dari Allah SWT ia menjadi sedar kembali. Alangkah besarnya kasih sayang Allah SWT pada hambaNya atas kesempatan yang tidak pernah kurang .

Persoalannya, kenapa ia tidak sedar bahawa ia sebenarnya mengikuti jalan yang salah sehingga ia berada di ambang kematian? Ini di kembalikan semula yang menjadi neraca ukur. Hati lah yang sebenarnya kotor sehinggakan kejahatan mampu bersembunyi dibalik kebaikan yang dilakukannya. Ruginya jika situasi ini berlaku pada diri kita, walaupun seribu kebaikan telah dilakukan ia tidak ubah seperti debu-debu yang berterbangan.

Oleh itu, hati perlu kuat menempuh sebuah rasa. Kerana semakin kuat rasa itu, semakin jenuh kita mengatur hati agar berlaku adil dengan melihat hikmah yang tinggi. Sebaliknya, jika semakin hati giat mencari celanya sebuah cerita sampai bilapun ia tidak mampu mengambil iktibar dari sesuatu kejadian.Lebih-lebih lagi andaikata ia sendiri mengakuinya semua yang dirasainya adalah benar belaka.

Seperti nukiilan seekor burung dan manusia. Burung yang terbang tinggi merasai kecilnya upaya manusia dibawahnya hanya mampu berjalan dengan lelah dan terbatas melalui liku-liku yang banyak sedangkan, ia mampu merentas tanpa batas.Sesakali rasa itu menjadi kebenaran tetapi tatkala hujan lebat, manusia menggunakan tempat perteduhan bagi meneruskan kehidupan, sedangkan sang burung bersembunyi dibalik ranting didalam kesejukan. Demikian ajaibnya rasa hati...

Saturday, May 15, 2010

Satu Tekad..


“Alhamdulillah. Akhirnya sampai juga ke bumi Semenanjung ini.” Aku segera keluar mencari tempat duduk. Terasa sakit kaki ini. Kesan daripada kemalangan beberapa minggu yang lepas masih terasa.

Aku kuatkan hati untuk terus bertahan. Insya’Allah. Sesungguhnya Allah akan menguji kesungguhan hamba-hambaNya.

Selesai menunggu sahabat ku mengambil barang-barang mereka, akhirnya sampai masanya kami berpisah. Sebak dan sayu sebenarnya hati kami pada ketika itu, kerana akan berpisah dengan seorang kakak yang menjadi pembimbing dan penasihat kami selama ini.

Aku dan kakak itu. Pelbagai cabaran yang telah kami tempuhi sepanjang berada di kampus. Pendengar setia kepada bicaraku. Masih aku teringat, dia sanggup menemani aku berkongsi cerita . Pada ketika itu kami duduk di benteng jalan sambil menunggu sahabatku mengambilku yang baru selesai bermesyuarat. Dia tetap menahan matanya sambil mengukir senyuman kerana ku.Biarpun jam menunjukkan hampir pukul 3 pagi. Serta pada ketika itu kami masing-masing keletihan setelah bertungkus lumus memerah minda di dalam mesyuarat tadi.

Salah satu memori yang tidak boleh ku lupakan.

Bahkan, hubungan kami sangat ironi. Bagi ku, sukar hendak dilafazkan dengan kata-kata. Salah seorang manusia yang bisa menyentuh hatiku.
Hampir menitis air mata ku pada petang itu. Perpisahan itu bukan yang sementara.

Mungkin selama-lamanya. Kami akan berjauhan daripada laluan perjuangan tetapi tetap sama terus berjuang.

Hanya mampu ku tuturkan, “Insya’Allah, jika ada jodoh ditemukan Allah, kita akan berjumpa lagi kak.”

Masing-masing hanya tersenyum ,menahan titisan air yang bergenang dihujung mata. Aku berdoa didalam hatiku pada ketika itu,”Ya Allah permudahkanlah usaha kami menjadi wanita solehah yang tetap tegar dalam perjuangan agamaMu ini.Amin.”

Suasana hujan dan sejuk di terminal lapangan terbang seakan-akan merasai mendung dihati kami pada ketika itu.

Seusai salam perpisahan pada petang itu, aku dan seorang sahabat ku meneruskan perjalanan kami. Musafir kerana pulang ke pangkuan keluarga.

Bergegas kami naik bas ke destinasi yang seterusnya. Terburu-buru perjalanan kami supaya dapat mengejar waktu bas ekspress ke kampung halaman masing-masing pada malam itu.

Kakiku pula tetap perit. Tapi perlu ku gagahi kerana aku pasti Allah sedang melihat sejauh mana keyakinan ku terhadap-Nya.

Setelah 30 minit bas bertolak, masing-masing tenggelam dengan pemikiran sendiri. Sahabatku perlahan-lahan mengalunkan zikir al-mathurat. Aku mengambil al-Quran . Menyambung semula penelitian ku kepada surah al-Hujurat, antara surah yang banyak menyentuh mengenai persaudaraan dan persahabatan.

Akhirnya kami sampai juga di destinasi yang kedua. Sementara menunggu seorang sahabat mengambil kami , aku berehat dibangku yang berhampiran. Cuba mengurut kaki yang berdenyut-denyut dari tadi.Sementara mata pula asyik liar memandang telatah manusia.

Namun pandanganku terpaku pada seorang pak cik tua yang sedang menarik begnya. Kali ini berderai jua titisan air mata.

Berusaha pak cik itu mengangkat beg biru yang dibawa. Disebelah bahu kirinya ada lagi sebuah beg . Begitu juga di tangan kanan.

Mana mampu dia mengangkat beg yang berat itu. Perlahan-lahan dengan menggunakan tongkat dia cuba menyangkutkan tali beg biru dihujung tongkat. Kemudian menyeret beg itu. Namun berkali-kali tali terlepas dihujung tongkat.

Terasa menitik setitis air mata di tudung. Berbaur perasaan.Antara pilu,sedih dan kecewa. Pilu kerana hanya boleh memandang. Sedih, dengan keuzurannya. Kecewa, dimanakah anak-anaknya ketika itu.

Kaki yang sakit ini seakan hendak berlari dan membantunya. Apakan daya aku juga kesuntukan masa.

Terdetik di hati.“Ya Allah. Permudahkanlah perjalanannya.”
dan

“Kuatkanlah aku untuk berbakti kepada orang tuaku. Bahagiakanlah hati mereka dengan rahmatMu, serta ampunkanlah kami sebagai hambaMu, yang penuh khilaf ini.”

Tersedar aku dari kesayuan pabila sahabat yang ditunggu telah tiba.

Kemudian, pada malam itu sahabat seperjalananku berpisah ke kampung halaman masing-masing.

Aku pulang dengan satu tekad dihati. Membawa agenda besar untuk keluargaku. Demi kebaikan dan kebahagiaan kami bersama.

Kerna ku pasti janji Allah pasti tiba.