Friday, October 30, 2009

Sedikit k0nklusi

Hairan kenapa sesetengah orang suka mengeluarkan kata-kata tanpa memikirkan perasaan orang lain. Mengapa anda sanggup mengeluarkan kata-kata yang pedih ketika seseorang itu berhadapan dengan masalah hidup? Tidakkah terfikir dan takut bahawa kamu juga akan diuji di masa hadapan?
Adakah anda merasakan yang anda kebal dan tidak akan berhadapan dengan cabaran-cabaran hidup ini, hinggakan anda boleh bercakap buruk mengenai orang lain sesuka hati anda?
Tidakkah anda berasa sedih dan marah? Ataupun jika perkara yang sama berlaku kepada kaum keluarga anda? Bagaimanakah perasaan anda ketika itu?
Seperti nukilan ini...

"Jika kamu ingin hidup dimana agama kamu terselamat, bahagian kamu penuh, dan maruah kamu terlindung , jagalah perkataan kamu dan janganlah menceritakan keburukan orang lain. Ingatlah bahawa kamu juga mempunyai keburukan dan orang lain mempunyai mulut yang boleh berkata-kata.."

Bahkan hadith daripada Rasulullah SAW,
"Tiada suatu perkara yang paling memberatkan timbangan(kebaikan) seorang mukmin pada hari kiamat selain daripada akhlak mulia dan sesungguhnya Allah amat murka kepada seorang yang buruk perbuatan dan celupar.."
(At-Tarmidzi)

Oleh itu rakan-rakan dikasihi Allah, gunakanlah akal yang dikurniakan Allah ini sebaiknya sebelum melontarkan sesuatu kata-kata atau ucapan.

Tuesday, October 27, 2009

Enaknya Daging ni….

Cuba angah cakap macam ni bila dengar orang cakap-cakap tentang kita..”Erm sedapkan kita mengunyah daging sahabat sendiri ?.. Tersenyum bila teringat semula kakak ni ajar ana macam mana nak menghadapi tohmahan palsu manusia . “Tapi kak, ana tak pandai nak cakap macam tu” “Biarlah kak, berdiam itu lebih baik..

Kadang-kadang manusia lupa, akibat emosi dan marah akhirnya kita bertindak serupa seperti orang yang melemparkan fitnah kepada kita..Tiada bezanya yang difitnah dan memfitnah. Post kali ni bukanlah untuk merungkai persoalan “sahabat” yang tidak tahu hujung pangkal ceritanya kisah hidup ana, tetapi ia sekadar perkongsian bagaimana manusia dan kehidupan itu bergerak selari dengan aturan yang telah ditetapkan oleh yang Maha Empunya diri dan alam seisinya. Kepada “sahabat” yang memberi pendapat didalam ruang shout box ana , syukran ana ucapkan..begitu juga sahabat-sahabat yang membantu dalam memberi pendapat. Terima kasih sekali lagi. Tetapi sahabat yang baik adalah sahabat yang mengenali kita dengan laluan persahabatan yang benar. Bukannya melalui orang kedua ,ketiga atau keempat. Dimana adanya perkenalan maka disitulah akan bermulanya sebuah perhubungan. Sama juga dengan proses kaunseling yang teraputik.

Jika dalam sesi kaunseling, tahap pertama yang perlu dilalui oleh yang dibantu dan yang membantu adalah proses membina hubungan..Pada ketika ini lah kaunselor dan klien akan saling mengenali antara satu sama lain untuk lebih rapat secara professional. Setelah berjaya membina hubungan dengan baik disamping membina sifat empati dan keselesaan pada klien barulah proses penerokaan masalah bermula. Asas binaan hubungan yang sangat baik akan menjayakan penerapan teori dan kemahiran kaunseling kedalam sesi, sekaligus memastikan matlamat klien tercapai. Seterusnya klien akan berjaya keluar daripada isu yang dihadapi.

Begitu juga dalam persahabatan antara manusia. Hak untuk menilai individu bukanlah terletak sepenuhnya pada tangan kita sendiri, kerana Allah yang Maha Mengetahui dan Dia sahaja yang mempunyai hak mutlak ke atas nilaian peribadi manusia. Kerana manusia harus sedar, kita tidak ada title Maha Mengetahui atau Maha Memahami.
Tapi sebaliknya ilmu alam yang dipunyai ini hanya milik Ilahi semata. Allah Yang Maha Besar, manakala kita pula Maha Kecik,..Kerdil sebagai hambaNya, yang pasti akan berlaku khilafnya. Jadi bagaimana mungkin kita dapat membuat penafsiran terhadap manusia lain lebih-lebih lagi apabila melibatkan kreadibiliti individu tersebut.

Seharusnya kita hendaklah menilai manusia itu dengan nilaian mata hati iaitu mata hati yang terhasil daripada kepercayaan dalam sesebuah perhubungan, bukannya ketidakpuashatian kerana kemarahan yang tidak pasti mana puncanya. Biarpun kita tahu tentang keburukan individu itu pun, tetapi kita masih perlu menjaga keaibannya. Islam itu Indah, kenapa cemari imej Islam kerana ketidakpastian hati. Hati yang berteraskan nafsu semata. Akhirnya berlakulah persengketaan dan permusuhan.

Firman Allah SWT, yang bermaksud:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.
Surah an-Nahl :ayat 125


Oleh itu gunalah keyakinan hati yang telah dihiasi iman serta takwa dalam mencelikkan mata hati. Fitrah manusia diberi ujian olehNya untuk memperbaiki diri ke arah menjadi insan acuan Al-quran dan Sunnah. Bukan acuan 'mentega' dan 'tepung' berdasarkan bekas loyang yang bulat, yang sampai bila pun tidak akan berubah bentuknya menjadi bentuk lain..

Senyum keranaNya, insya'Allah terkesan dihati orang yang memandang...