Sunday, July 10, 2011

Cerpen : Suci Itu Dari Hati


Angin dari Bukit Klid begitu perlahan berlalu mengenai pipinya.Rasa sejuk kian merona di pipi Balqis kerana molekul hidrogen dan oksigen yang menyalutinya.

Sayup-sayup diiringi alunan ayat-ayat al-Quran daripada orang yang dikasihinya.Rutin harian Ajdar, suami Balqis. Teman dakwahnya dulu sewaktu kuliah di Universiti al-Fateh,Malaysia.Di jalan dakwah mereka bertemu jodoh. Ikatan hati mereka terlalu rapat dan utuh.Ditambahi dengan kehadiran lima orang cahaya mata yang menjadi penawar suka serta duka Ajdar dan Balqis. Mahar dakwah berkat kesabaran dan perjuangan mereka terhadap agama.

Seperti firman Nya :" Barang siapa mengerjakan kebajikan, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (Surah an-Nahl : ayat 97)

Molekul itu menitis lagi.Air mata dan wanita. Ramai yang menganggap ia sebagai kelemahan seorang wanita. Tapi mereka tidak tahu kekuatan yang hadir sebaik sahaja air mata itu berhenti mengalir. Ia berhenti bersama semangat izzahNya yang tidak pernah hilang selagi ruh agama Ilahi mekar dijiwa dan mengalir segar dalam darahnya.

Balqis memandang sayu kepada keindahan Bukit Klid."Klid" berasal daripada perkataan Czech, yang bermaksud keamanan.Ilham bukit buatan manusia daripada seorang jurutera Islam daripada Chechnya.

Wilayah Chechnya yang membawa sejarah hitam dalam dunia Islam dahulunya.Pembunuhan beramai-ramai orang-orang Chechen oleh pihak Rusia, yang mana masih kekal di dalam ruang lingkup mentaliti komunis lama.Mentaliti yang membenarkan berlakunya pembunuhan kanak-kanak, membelah perut wanita-wanita mengandung, memusnahkan rumah-rumah penduduk dengan menggunakan kereta kebal, dan berbagai-bagai lagi kedahsyatan, telah lari jauh dari sebarang sensitiviti moral, perasaan perikamunusiaan, belas kasihan, cinta atau simpati.

Kuasa Rusia menceroboh Chechnya pada tanggal 2 Oktober 1999 dan telah melakukan siri pembunuhan yang sangat kejam kepada sesiapa sahaja yang mereka temui, tanpa mengira wanita, kanak-kanak ataupun orang tua. Mereka mula menyerang penduduk awam. Senjata-senjata kimia, peluru berpandu scud dan napalm iaitu sejenis bahan petrol seperti agar-agar yang digunakan untuk membuat bom telah digunakan di dalam serangan-serangan tersebut. Manakala hospital-hospital, wad-wad bersalin, kawasan membeli-belah dan kem-kem tahanan dijadikan sebagai sasaran serangan.

Di samping semua ini, masih ada satu elemen yang menjadikan Chechnya begitu penting kepada Rusia. Ketakutan Moscow yang sebenar, seperti contoh di Bosnia dan Kosovo, ialah penubuhan dan perjuangan membela hak-hak umat Islam yang tinggal di dalamnya.

Inilah sebab paling penting mengapa perang yang tidak ber­perikemanusiaan dilancarkan oleh pentadbiran Rusia terhadap Chechnya, yang mana mereka telah berusaha selama bertahun-tahun untuk menghapuskan identiti agama orang-orang Chechen, dan dengan itu mengenakan penindasan kejam ke atas mereka, memusnahkan masjid-masjid, mengharamkan ibadat kepada Allah, dan melarang pendidikan yang bersifat keagamaan.

Orang-orang Chechen dikenali dengan kesetiaan mereka terhadap agama, keazaman mereka berjuang untuk hidup dengan berlandaskan agama, dan identiti keislaman mereka yang amat kuat memberi kesan kepada negara-negara Islam yang lain di Caucasus. Idea "Cacasus Bersatu" yang telah dicadangkan oleh Imam Mansur pada tahun 1780-an yang bertujuan untuk menyatukan seluruh Caucasus, benar-benar telah memberi amaran kepada Rusia.

Ini kerana ciri utama penubuhan kesatuan tersebut bersifat Islamik, dan ia memberikan ancaman getir terhadap segala kepentingan Rusia.

Ketakutan-ketakutan ini telah menimbulkan keinginan Rusia untuk melihat "Chechnya tanpa Chechen". Berdasarkan kepada polisi semasanya, Rusia mahu menghapuskan orang-orang Chechen sehingga ke akar umbi, menghalang sebarang penubuhan kesatuan Islam, dan mahu mengambil semula bekas-bekas tanah jajahan yang hilang ke pangkuan dominasinya semula. Sedangkan, walaupun "Caucasus Bersatu" ditubuhkan, ia tidak perlu dianggap sebagai satu per­kembangan anti-Rusia. Jika Rusia menjalinkan hubungan baik dengan umat Islam Caucasus, jadi tiada sebab bagi mereka, sama ada merdeka atau tidak, untuk menunjukkan sikap menentang terhadap Moscow.

Serangan nyata yang memberi luka yang sama pada hati Balqis, dahulunya. Seolah masih baru ingatan umat Islam ditindas di Chechnya.Tetapi lukanya masih terasa hingga sekarang.Namun ia adalah kerana serangan senyap yang berlaku dihadapan mata. Serangan pemikiran yang dikaburkan dengan teknologi semasa dan kecanggihan hidup menjadi tuntutan kebahagiaan yang dicanang-canang semua orang.

Teknologi dan sains yang memperakui kebijaksanaan manusia,namun tetap akur lemah dengan kuasa Allah SWT.Kerana tangan manusia juga yang telah menghancurkan keindahan sifat semula jadi hutan. Kemajuan dan manusia. Kehidupan canggih dikatakan maju. Tidak ortodoks dan open minded juga dianggap maju.

Betapa banyak kemajuan yang telah memakan manusia, menjadi terlalu bebas, hingga syariatNya juga dirasakan mengongkong kemajuan.Itulah kebiasaan yang berlaku, kini, tahun 2025.

Dua tahun sebelum ini, semasa tahun 2023 Balqis sekeluarga masih tinggal di Metropolitan Selatan. Namun, kemudiannya pindah ke Metropolitan Barakah setelah dipersetujui oleh suami dan anak-anaknya.

"Ya habibati?." tanya Ajdar kepada Balqis.

Lantas perlahan Balqis mengelap air matanya. Sambil mengungkir senyuman, Balqis berkata " Maafkan, Balqis,bang.Masih sedih, mengenangkan hal yang berlaku".

Ajdar tahu relung hati Balqis. Sayap kanan perjuangan Ajdar yang dulunya mempunyai hati yang sukar dimengertikan. Pada usia awal perkahwinan mereka, Ajdar begitu berusaha memahami jiwa dan hati Balqis.Kadang kala Ajdar merasa sukar untuk memahaminya . Namun jika bukan kerana paksi utama pernikahan mereka adalah semata-mata mencari sakinah dan rahmah dari Allah SWT, sudah tentu rumah tangga Balqis dan Ajdar gelora kerana pengaruh emosi dan nafsu.

Rajuk dan rasa terluka adalah perasaan yang sering berlaku di awal perkahwinan mereka. Cuba untuk memahami dan ingin rasa difahami adalah dua perkara yang sering melanda perhubungan mereka.Kadangkala Balqis menuntut dirinya untuk lebih difahami manakala Ajdar akan berusaha untuk itu.

Namun, ada masanya Balqis juga lupa, bahawa Ajdar juga seorang suami yang ada masanya akan rasa letih untuk terus memahami dirinya.Sedangkan Balqis perlu sedar bahawa perbezaan di antara lelaki dan perempuan itulah yang perlu dipelajari. Namun sering menjadi kesilapan apabila wanita menuntut lelaki berfikir seperti gaya pemikiran mereka ataupun lelaki pula meinginkan wanita berfikir mengikut cara merek Hakikatnya, itulah perbezaan yang saling melengkapi. Cinta bukan mencari kekurangan tapi sebaliknya saling melengkapi antara satu sama lain. Masing-masing berusaha untuk memahami antara satu sama lain.Lebih-lebih lagi kedua-duanya menggalas urusan dakwah dan pekerjaan yang menuntut kerja keras, tenaga dan masa mereka.

Malahan kadangkala sesuatu yang menjadi kebiasaan juga adalah suatu yang perlu dititikberatkan. Kerana yang biasa itulah yang akan menjadi punca duka dan jauh hati antara pasangan. Begitulah fitrah manusia, sering lemah teruji. Waima para duat sekalipun tidak tak akan terlepas daripada cabaran dan mehnah dalam urusan rumah tangga, keluarga dan pekerjaaan.

Namun hasil tarbiyah dalam dakwah, memberikan Ajdar dan Balqis rasional dan kesedaran bahawa itu adalah proses untuk mereka dalam menjadi hambaNya dan khalifah di muka bumi ini kerana perkahwinan itu adalah ibadah dan amanah dari Allah SWT.Mengambil pesan murabbi mereka,supaya bersabar sebagai kunci utamanya. Serta selagi mana menurut sunnah Rasulullah SAW dalam melayari baitul muslim, segala pancaroba pasti dapat dilalui dengan baik.

Berkat kunci kesabaran.Sedikit demi sedikit segala cabaran dalam menjadi abi dan ummi kepada Iqram , Iqmar,Iqwan,Aisyah dan juga Ainul Mardhiah dapat ditempuhi. Proses mengislah diri untuk generasi dan rantai-rantai perjuangan akan menyambung tugas dakwah mereka.Malahan disinilah bermula pusat pancaran tarbiyah dalam melahirkan pemuda pemudi Islam sejati dan berbakti kepada agama.Itu sebenarnya proses tarbiyah yang berterusan.

Ajdar kemudiannya mengelap air mata Balqis.
Semakin reda hujan di hati Balqis.

"Abang,sampai bila kita harus bersabar, dengan apa yang berlaku sekarang."
"Balqis mula rasa letih dan putus asa dengan semua ni." Balqis mengangkat mukanya.

Lantas beralun ayat suci al-Quran dari surah Ali Imran :139,"Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."

Kemudian dari surah ar-Rum, pula: 60, " Maka bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah adalah benar dan sekali-kali janganlah orang-orang yang tidak menyakini (kebenaran ayat-ayat Allah)itu mengelisahkan kamu."


Perlahan-lahan ia diakhiri dengan firmanNya " Wahai orang-orang yang beriman. Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.Nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang agung.Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya).Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin ".Surah terakhirlah ini adalah dari surah as-Saff ayat 10 hingga 13. Maka bersabarlah wahai manusia, sesungguhnya di akhirat nanti adalah kebahagiaan yang sebenar.

Begitulah tazkirah ringkas yang secara automatik beralun daripada i-Quran kepunyaan suaminya.Dengan kemerduan suara ulamak muda dari peti suara i-Quran, mampu membaluti hati Balqis pada ketika itu.

Ajdar kemudiannya menekan butang off pada gadget canggih yang mengandungi ayat-ayat al-Quran dan himpunan hadith serta sirah tokoh islam itu.Kecanggihan teknologi i- Quran mampu mengesani emosi dan perasaan seseorang yang berada berhampiran dengan gadget itu, dan secara tidak langsung akan mengeluarkan ayat suci ataupun hadith yang bersesuaian dengan keadaan mental dan emosi individu tersebut. Teknologi moden yang pantas mendekatkan manusia dan mengambalikan mereka kepada sumber rujukan utama kehidupan iaitu al-Quran dan hadith tatkala berada dalam keadaan sedih mahupun gembira.

Ingatan Balqis berputar semula kepada persoalan yang pernah di ajukan oleh anaknya, Iqmar.

"Ummi. Semua kawan-kawan Iqmar selalu bercerita tentang Akademi Fantasi. Tetapi Iqmar tak pernah tonton rancangan seperti itu kan ummi.Jadi kawan-kawan katakan yang Iqmar ni kolot dan pelik." ungkap Iqmar dengan suara yang mendatar.

"Iqmar,yang ummi sayangi.Pelik bererti unik, bukan?Dan setiap yang unik itu adalah istimewa.Sebab tu, Iqmar sebenarnya insan istimewa yang telah terpilih oleh Allah tau"

"Terpilih, ummi?"

"Kerana Iqmar adalah anak-anak akhirat yang mengejar kebaikan untuk bekalan di sana nanti, hari perhitungan.Jadi bila menjadi insan yang terpilih, Iqmar mesti kena lebih kuat kan?" soal Balqis dalam mengubati hati anak ketiganya itu.

"Iqmar,pernah dengar Abi pesan kepada abang Iqwan macam tu."balas Iqmar perlahan.

"Jadi, Iqmar pun sebenarnya boleh kongsikan dengan kawan-kawan Iqmar tentang program yang Iqmar selalu tonton di rumah.Erm, contohnya..? senyum Balqis kepada puteranya itu.

"Erm, kalau macam tu Iqmar boleh kongsikan dengan kawan-kawan tentang kejayaan kawan yang berada di Palestin, , kan ummi." bersemangat Iqmar menjawab soalan Balqis.

"Alhamdulillah. Bijak anak ummi.Ini yang menyebabkan ummi bertambah sayang dengan Iqmar.Ummi suka idea Iqmar.Walau bagaimanapun, Iqmar. Berbeza itu bukannya bererti kita adalah ganjil dan pelik. Tetapi ia adalah sesuatu keistimewaan yang dipunyai oleh orang tertentu sahaja.Kerana Iqmar special di mata ummi dan abi.Allah sangat suka kepada orang-orang special ni." Jelas Balqis.

"Special yang macam mana pula ummi?" soal Iqmar ingin tahu.

Sambil mengenggam jari halus Iqmar, Balqis menarik tangan Iqmar dan meletakkannya di dada puteranya itu sambil berkata.

"Iqmar dan anak-anak ummi yang lain special disini, di dalam hati.Hati ini ada cinta kepada Allah dan Rasul. Hati ini juga ada kasih sayang pada ummi dan abi.Bahkan dalam hati ini juga hanya ada cinta pada akhirat.Cinta akhirat yang akan membawa cinta dunia ke sisi."

"Sayang ummi,hati ini akan merasa resah jika cinta akhirat tidak ada didalamnya. Bahkan kita akan rasa susah hati pabila kita tak dapat memenuhi kehendak dunia .Tapi pabila cinta itu telah ada,pandangan dunia sama sekali tidak akan merisaukannya."

"Maksud ummi,dengan cinta kepada akhirat, hati Iqmar akan terus kuat dan tidak rasa terganggu disebabkan pandangan dan ejekan kawan-kawan Iqmar, ke ummi? Iqmar menyoal umminya untuk kepastian.

"Ya, alhamdulillah.Bijak buah hati ummi ni!". Angguk Balqis sambil memeluk anaknya itu.

Sentuhan ruhiyah dari Balqis.Usaha menyemai cinta kepada Maha Esa.Tarbiyah Islamiyah yang menjadi rutin didikan harian keluarga mereka.

Betapa anak-anak istimewa di hati Ajdar dan Balqis kerana menjadi insan-insan terpilih yang berada di tengah-tengah masyarakat yang semakin rosak akhlaknya.

Runtunan di jiwa Balqis semakin membesar.Sukar untuk mendidik anak-anak jika tidak tahu bagaimana ingin menerangkan sesuatu kepada mereka.Kadangkala Balqis rasa seperti ahli sains pabila mula menerangkan secara logik akal supaya dapat diterima akal minda anaknya yang masih kecil. Ada masanya juga seperti ustazah, guru matematik dan sejarah, bila perlu menjelaskan hal mengenai hukum syariat, angka dan fakta sejarah apabila ditanya.

Begitulah anggapan anak-anak kepada ibu bapa. Dianggap serba serbi tahu.

Cabaran pertama Ajdar dan Balqis pada era pertengahan tumbesaran putera puteri mereka.

Ternyata generasi muda pada ketika ini begitu pintar dan advance. Memerlukan respon yang mampu menjawab persoalan mereka.Mereka tidak mampu membezakan mana perkara haq dan mana perkara yang batil. Bahkan sudah berapa ramai anak-anak zaman ini berkawan dan termakan dengan umpan musuh-musuh Islam. Manakan tidak saat ini rata-ratanya media sedia ada mengajak musuh-musuh Islam ini masuk ke rumah secara tidak langsung. Dengan ketagihan rokok, rancangan hiburan realiti yang berlambak, lawak tanpa batas, promosi pergaulan bebas memuncak, filem dan drama cinta yang mengasyikkan dan seribu satu macam serangan musuh berada dalam persekitaran melalui media massa dan media baru.

Sebagai seorang ibu,Balqis dapat merasai kelesuan dan kerosakan anak- anak kecil dan anak-anak muda.Dalam usia yang masih muda mereka sudah merokok, menonton video porno, melakukan seks dan sebagainya.Pendoktrinan sulit yang tidak disedari orang ramai. Hanya yang celik mata hati sahaja yang mampu melihat tipu daya terbesar syaitan dan musuh islam itu.

Bahkan,propaganda tidak peduli dan self centered juga kian bercambah dalam minda masyarakat, terutamanya remaja. Mereka lebih materialistik.Asalkan makan pakai mencukupi dan tak menganggu periuk nasi mereka itu sudah baik dalam mendiami negara yang berdaulat ini.

Masih segar dalam ingatan Balqis 14 tahun lepas.Apabila rakyat menuntut ketelusan dalam acara pemilihan pemimpin, ketulenan media tanpa monopoli sebelah pihak dan juga menghentikan rasuah yang berleluasa samada pada peringkat pucuk pimpinan tempatan mahupun bawahan. Jenayah kolar putih yang seakan menjadi norma hidup masyarakat. Kuasa dan kekayaan telah mengaburi mata hati majoriti pemegang kuasa.

Kebangkitan kedua rakyat sebagai teguran Allah kepada yang memerintah. Biarpun demikian tetap ada suara yang mentafsirkan kebangkitan itu sesuatu yang di propagandakan sebagai mainan dalang si penentang pentadbiran dan bertujuan merosakkan keamanan masyarakat ketika itu. Ya, aman hanya pada permukaan. Hakikatnya, penuh kerosakan iman dan juga kekontangan akhlak yang kian merebak dalam kehidupan setiap anak bangsa yang dibanggakan.

Amarah rakan sekampus Balqis kerana perhimpunan kebangkitan dahulunya masih jelas kedengaran.

"Bodoh betul mereka yang menganjurkan perhimpunan Suci tu. Suci apa! Menyusahkan orang ramai.Mak ayah aku tersangkut dalam kesesakan jalan raya disebabkan jalan yang ditutup oleh polis.Sampaikan terpaksa batalkan rancangan kita orang untuk tonton wayang masa tu."

Sedikit susah yang terlalu di ungkitkan,untuk senang yang sementara didunia. Sedangkan ianya untuk kesenangan besar untuk generasi seterusnya.

Dangkal dan cetek pemikiran. Terlalu dikuasai cerita palsu daripada saluran media yang berat sebelah.

Balqis hanya menggelengkan kepala dan beristighfar ketika itu.Ingin menegakkan kebenaran, pasti akan membawa pergaduhan besar dengan rakannya. Sedangkan, berkali-kali telah Balqis terangkan dengan hikmah mengenai isu itu kepadanya.Benarlah, hanya Dia yang mampu mengubah hati-hati manusia.

Cuba kembali belajar daripada sejarah Chechnya.Pabila Rusia cuba melemahkan Chechnya dari dalam dan mencuba berbagai-bagai cara untuk melakukannya. Rusia memulakan langkah pertamanya dengan memusnahkan perpaduan mereka dan mencetuskan kekacauan di Chechnya dengan masuk campur di dalam pilihan raya, membeli ahli-ahli politik, melakukan penculikan dan tindakan-tindakan terorisme, menggunakan paderi-paderi pro-Rusia dan seterusnya mencetuskan perbezaan-perbezaan agama, termasuklah mengenakan tekanan ekonomi dan politik.

Itu yang sedang berlaku ketika itu. Tapi tidak semua yang menyedarinya kerana, kesenangan yang memayungi diri mereka. Setelah doktrin merasionalkan sesuatu yang tidak rasional direalisasikan.

Akhirnya, ia telah dibayar dengan pencabulan iman rakyat yang semakin kosong kebaikan dek kerana hasutan dan amalan budaya luar yang menjadi panduan wilayah negara. Hinggakan generasi kini yang harus menerima bayaran mahal itu kerana salah langkah si pemerintah dahulunya.

"Balqis..Berasa lemah dalam dakwah itu adalah suatu yang akan dilalui semua orang.
Begitu juga abang dan teman kita yang lain.Namun,perlu segera bangun dari kedukaan dan kekecewaan yang hadir dalam hati.Sebab berada terlalu lama dalam kesedihan akan mendorong hati menjadi lemah dan terdedah kepada bisikan syaitan." Suara Ajdar menembusi khayalannya.

"Astagafirullah.Kerana dunia, aku kembali lemah." Perlahan suara keimanan bersuara semula di hati Balqis.

"Alhamdulillah. Syukran, bang. Kerana menyedarkan Balqis semula."

"Balqis, ingat lagi sebab utama kita berpindah ke Metropolitan Barakah, dahulu?" Soal suaminya.

"Insya'Allah, Balqis masih ingat bang. Semata-mata redhaNya.Menjadi antara peneraju kepada perancangan besar menyelamatkan ummah."

"Alhamdulillah.Malam ini, liqa gabungan akan diteruskan di Pusat Tarbiyah al-Baraqah. Perancangan untuk kebangkitan terbesar akan dilakukan. Insya'Allah, kali ini kehadiran semua para duat, pelbagai bidang dari seluruh pelosok negara bisa menjayakan matlamat ummah."Tegas Ajdar.

"Insya'Allah bang. Kesatuan kita itulah kuncinya." Senyum Balqis dalam ketenangan.

"Jadi, nanti kita persiapkan anak awal-awal ya.Supaya semua bersedia dengan liqa malam ini. Lagipun liqa syabab untuk Iqwan dan Iqmar serta liqa an-Nisa untuk Aisyah turut ada agenda khas pada malam ini.Dan buat si kecil muslimah cilik ini, buah hati abi Ainul Mardhiah, kena ikut ummi ok." Usik Ajdar sambil menyentuh pipi anak bongsunya yang sedang berada dalam ribaan Balqis.

"Insya'Allah,bang."ujar Balqis sambil memerhatikan gelagat suaminya yang sedang bermain dengan puteri kecilnya itu.

Insya'Allah, malam ini adalah malam perhitungan. Menyucikan jahiliyyah dari segenap sudut wilayah.


2 comments:

NadiahHalim dot com said...

Assalamualaikum kak..nice story! Teruskan perjuangan kak! follow kakak...(^_^)

Izzah said...

Waalaikummussalam...em! insyaAllah... =)