Friday, August 6, 2010

Disebalik rasa...


Merasai sesuatu dengan hati bukannya dengan kekuatan fikiran yang keluar dari andaian semata-mata. Jika bersihnya hati maka sudah tentulah biasnya cahaya itu dari sudut yang benar. Tetapi jika selalu dikotori maka wujudlah seribu prasangka yang membawa kepada dosa. Ukurannya ialah pada HATI. Dari itu, mengambil sikap curiga pada telahan hati sendiri itu lebih selamat. Kita curiga tentang sesuatu yang dibentangkan kerana kita bimbang ianya merupakan sebuah rasa yang telah salah. Apa pun yang penting bersihkan hati, sehingga ia melahirkan cahaya yakin pada setiap bicaranya. Sekiranya yakin itu sudah menguasai diri sesudah ia cuba menafikan sesuatu hal yang buruk maka benarlah itu adalah petunjuk dari Tuhannya. Allah SWT menjadi pembimbing kepada orang yang beriman dan mengeluarkan dirinya dari kegelapan kepada cahaya. Misalnya seperti Allah SWT mendatangkan rasa bahagia dihati hambaNya tatkala ia melakukan apa jua ibadah. Kita mampu melakukan hal-hal yang zahir tetapi atas urusan hati semuanya kembali kepada Allah SWT yang menentukan.

Mintalah kepada Allah SWT ,nescaya kita akan memperolehinya, kerana Allah sahaja yang berhak mengagihkan redha kepada sekalian alam. Allah tidak ada sekutu dengan sesuatu dalam hak keagunganNya dan tidak ada sekutu dengan sesuatu ketika memberikan sesuatu nikmat. Malahan jika Dia mencabut nikmat itu tidak ada sesiapa yang mampu memberikannya.

Dimana sahaja wajahmu dihadapkan disitulah wujudnya Allah SWT sehingga ketika matamu terpejam dari melihat hakikat realiti dihadapanmu itu jua adalah tanda wujudnya Allah SWT. Kalau tidak, masakan orang buta juga beriman dengan sesungguhnya? Bahkan, kadangkala dengan mata yang terpejam lebih cepat hati itu merasai kerana ia tidak terpengaruh dengan lukisan dihadapannya. Jika ia mampu melihat sesuatu itu dengan pandangan disebalik sebuah objek maka itu lebih baik.Dimana kita hanya akan berfikir tentang Allah, tentang kekuasaanNya,serta tentang pentas dunia yang akan dilabuhkan tirai kehidupannya. Maka dari situlah kita akan membangunkan sebuah rasa kebergantungan dengan maha pencipta sambil menafikan semua kehadiran yang lain dihatinya.

Disini, kita akan tidak pernah merasa kesepian dalam keseorangan dan juga tidak rasa lupa dalam keramaian sehinggakan benar-benar ia takut hatinya tidak lagi dapat mendampingi Tuhannya. Begitulah perjalanan hati yang sentiasa menanti dan mengharap sapaan Tuhannya. Ia dapat merasai kesemuanya itu walaupun sukar padanya mengungkapkan sebuah rahsia cinta antara hamba dengan Tuhannya.

Dia mencintai semua orang yang sama-sama berjalan diatas jalan yang sama meskipun memiliki cara yang berbeza, kerana jelas padanya semestinya semua orang mencari jalan yang membawa petunjuk.

Rasa ingin kepada petunjuk itupun satu anugerah yang ditentukan Allah. Kecuali dia lari dari petunjuk kerana fatamorgana yang tidak upaya hatinya menolaknya. Itupun sesudah datang ingatan dari Allah SWT ia menjadi sedar kembali. Alangkah besarnya kasih sayang Allah SWT pada hambaNya atas kesempatan yang tidak pernah kurang .

Persoalannya, kenapa ia tidak sedar bahawa ia sebenarnya mengikuti jalan yang salah sehingga ia berada di ambang kematian? Ini di kembalikan semula yang menjadi neraca ukur. Hati lah yang sebenarnya kotor sehinggakan kejahatan mampu bersembunyi dibalik kebaikan yang dilakukannya. Ruginya jika situasi ini berlaku pada diri kita, walaupun seribu kebaikan telah dilakukan ia tidak ubah seperti debu-debu yang berterbangan.

Oleh itu, hati perlu kuat menempuh sebuah rasa. Kerana semakin kuat rasa itu, semakin jenuh kita mengatur hati agar berlaku adil dengan melihat hikmah yang tinggi. Sebaliknya, jika semakin hati giat mencari celanya sebuah cerita sampai bilapun ia tidak mampu mengambil iktibar dari sesuatu kejadian.Lebih-lebih lagi andaikata ia sendiri mengakuinya semua yang dirasainya adalah benar belaka.

Seperti nukiilan seekor burung dan manusia. Burung yang terbang tinggi merasai kecilnya upaya manusia dibawahnya hanya mampu berjalan dengan lelah dan terbatas melalui liku-liku yang banyak sedangkan, ia mampu merentas tanpa batas.Sesakali rasa itu menjadi kebenaran tetapi tatkala hujan lebat, manusia menggunakan tempat perteduhan bagi meneruskan kehidupan, sedangkan sang burung bersembunyi dibalik ranting didalam kesejukan. Demikian ajaibnya rasa hati...

No comments: