Saturday, May 15, 2010

Satu Tekad..


“Alhamdulillah. Akhirnya sampai juga ke bumi Semenanjung ini.” Aku segera keluar mencari tempat duduk. Terasa sakit kaki ini. Kesan daripada kemalangan beberapa minggu yang lepas masih terasa.

Aku kuatkan hati untuk terus bertahan. Insya’Allah. Sesungguhnya Allah akan menguji kesungguhan hamba-hambaNya.

Selesai menunggu sahabat ku mengambil barang-barang mereka, akhirnya sampai masanya kami berpisah. Sebak dan sayu sebenarnya hati kami pada ketika itu, kerana akan berpisah dengan seorang kakak yang menjadi pembimbing dan penasihat kami selama ini.

Aku dan kakak itu. Pelbagai cabaran yang telah kami tempuhi sepanjang berada di kampus. Pendengar setia kepada bicaraku. Masih aku teringat, dia sanggup menemani aku berkongsi cerita . Pada ketika itu kami duduk di benteng jalan sambil menunggu sahabatku mengambilku yang baru selesai bermesyuarat. Dia tetap menahan matanya sambil mengukir senyuman kerana ku.Biarpun jam menunjukkan hampir pukul 3 pagi. Serta pada ketika itu kami masing-masing keletihan setelah bertungkus lumus memerah minda di dalam mesyuarat tadi.

Salah satu memori yang tidak boleh ku lupakan.

Bahkan, hubungan kami sangat ironi. Bagi ku, sukar hendak dilafazkan dengan kata-kata. Salah seorang manusia yang bisa menyentuh hatiku.
Hampir menitis air mata ku pada petang itu. Perpisahan itu bukan yang sementara.

Mungkin selama-lamanya. Kami akan berjauhan daripada laluan perjuangan tetapi tetap sama terus berjuang.

Hanya mampu ku tuturkan, “Insya’Allah, jika ada jodoh ditemukan Allah, kita akan berjumpa lagi kak.”

Masing-masing hanya tersenyum ,menahan titisan air yang bergenang dihujung mata. Aku berdoa didalam hatiku pada ketika itu,”Ya Allah permudahkanlah usaha kami menjadi wanita solehah yang tetap tegar dalam perjuangan agamaMu ini.Amin.”

Suasana hujan dan sejuk di terminal lapangan terbang seakan-akan merasai mendung dihati kami pada ketika itu.

Seusai salam perpisahan pada petang itu, aku dan seorang sahabat ku meneruskan perjalanan kami. Musafir kerana pulang ke pangkuan keluarga.

Bergegas kami naik bas ke destinasi yang seterusnya. Terburu-buru perjalanan kami supaya dapat mengejar waktu bas ekspress ke kampung halaman masing-masing pada malam itu.

Kakiku pula tetap perit. Tapi perlu ku gagahi kerana aku pasti Allah sedang melihat sejauh mana keyakinan ku terhadap-Nya.

Setelah 30 minit bas bertolak, masing-masing tenggelam dengan pemikiran sendiri. Sahabatku perlahan-lahan mengalunkan zikir al-mathurat. Aku mengambil al-Quran . Menyambung semula penelitian ku kepada surah al-Hujurat, antara surah yang banyak menyentuh mengenai persaudaraan dan persahabatan.

Akhirnya kami sampai juga di destinasi yang kedua. Sementara menunggu seorang sahabat mengambil kami , aku berehat dibangku yang berhampiran. Cuba mengurut kaki yang berdenyut-denyut dari tadi.Sementara mata pula asyik liar memandang telatah manusia.

Namun pandanganku terpaku pada seorang pak cik tua yang sedang menarik begnya. Kali ini berderai jua titisan air mata.

Berusaha pak cik itu mengangkat beg biru yang dibawa. Disebelah bahu kirinya ada lagi sebuah beg . Begitu juga di tangan kanan.

Mana mampu dia mengangkat beg yang berat itu. Perlahan-lahan dengan menggunakan tongkat dia cuba menyangkutkan tali beg biru dihujung tongkat. Kemudian menyeret beg itu. Namun berkali-kali tali terlepas dihujung tongkat.

Terasa menitik setitis air mata di tudung. Berbaur perasaan.Antara pilu,sedih dan kecewa. Pilu kerana hanya boleh memandang. Sedih, dengan keuzurannya. Kecewa, dimanakah anak-anaknya ketika itu.

Kaki yang sakit ini seakan hendak berlari dan membantunya. Apakan daya aku juga kesuntukan masa.

Terdetik di hati.“Ya Allah. Permudahkanlah perjalanannya.”
dan

“Kuatkanlah aku untuk berbakti kepada orang tuaku. Bahagiakanlah hati mereka dengan rahmatMu, serta ampunkanlah kami sebagai hambaMu, yang penuh khilaf ini.”

Tersedar aku dari kesayuan pabila sahabat yang ditunggu telah tiba.

Kemudian, pada malam itu sahabat seperjalananku berpisah ke kampung halaman masing-masing.

Aku pulang dengan satu tekad dihati. Membawa agenda besar untuk keluargaku. Demi kebaikan dan kebahagiaan kami bersama.

Kerna ku pasti janji Allah pasti tiba.

2 comments:

Vita Meglio said...

salam

tips:

http://arata2afzan.blogspot.com/2010/05/jum-dakwah-keluarga.html

TUKANGSERU said...

salam. moga cepat sembuh na:) besalah, muslimat power kan kan hehe