Saturday, October 2, 2010

Cerpen: Cahaya Dhuha



Jam hampir ke angka lapan pagi. Bergegas Hulwah ke bilik air untuk mengambil wuduk. Terasa damainya jiwa pabila siraman air wuduk mengenai pancainderanya. Rasa semakin tidak sabar untuk bertemu dengan cintanya. Perlahan Hulwah memakai telekung buatan Indonesia yang dihadiahkan oleh lelaki yang menjadi suaminya, hadiah sempena pertunangan .

“Ya Allah, janganlah Kau biarkan aku rasa berputus asa untuk terus berdoa kepadaMu. Berilah aku kekuatan untuk terus memohon upaya dariMu, meskipun hati terasa jenuh meraih keizinan Mu”. Begitu sayu hati Hulwah di hujung sujud Dhuhanya.

Selesai salam kedua, mata Hulwah bergerak tepat kearah buku yang terletak disebelah kirinya. Terusan Hulwah berzikir dan memanjatkan doa memohon kesejahteraan dan keampunan kepada orang-orang yang dikasihi serta juga dirinya. Bicara hati Hulwah ketika itu, rasa kerdil dan lemah disisi Tuhan. Tiada upaya untuknya sekalipun melakukan sesuatu tanpa keizinan Allah. Bahkan untuk menghalang debu sekecil zarah untuk tidak memasuki mata juga, tidak mampu. Inikan pula hal-hal lain yang lebih besar. Sungguh, segala-galanya hanya dengan kebenaran Allah.

Hati yang pada mulanya resah dengan urusan kuliah yang tidak pernah selesai, kini semakin tenang. Nurani Hulwah yang mula kontang dengan keletihan untuk mengharapkan keizinanNya terhadap apa yang diinginkan, semakin berisi dengan keyakinan kepadaNya. Subhanallah…

“Allah lah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu)setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah (kembali) dan berubah. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan Dia Maha Mengetahui, Maha Kuasa.” Surah ar-Rum : Ayat 54.

Ternyata, solat adalah terapi terbaik umat islam. Hanya bagi yang sabar mengerjakannya akan merasai kemanisan itu.
Setelah telakung digantung di dalam almari, Hulwah mengambil buku yang dilihatnya tadi. “Mungkin Iffah tertinggal buku ni disini tadi.” Lantas Hulwah membuka bahagian tengah buku itu.

“MasyaAllah.”

Tulisan mengenai Sabar dan Syukur itu mengegarkan hatinya.
Persoalan jiwanya semasa di sujud terakhir sebentar tadi. Betapa Hulwah tidak mampu lagi menahan sebak.” Pantasnya Kau memberikan ku jawapannya, Ya Allah.”
Begitu mudah manusia mempersoalkan Tuhan tentang kenapa tidak dianugerahkan segera apa yang dipinta, walaupun letih menempuh derita. Ternyata, hikmah syukur dalam bersabar itu lebih besar kesannya kepada manusia. Kerap diuji akan lebih menghargai kegembiraan walaupun sedikit, serta mudah redha bila kesukaran kembali menjengah.

Hulwah begitu terkesan kerana kematian satu-satunya adik kesayangan selepas dua hari pertunangannya. Ajmal, kembali menghadap Ilahi setelah setahun diduga dengan penyakit barah hati.
Bijak menyembunyikan penyakitnya daripada pengetahuan keluarga. Tetapi mendalam lukanya kepada keluarga Hulwah. Sikap Ajmal yang sentiasa ceria dan ringan tulang, tidak diduga terselindung satu rahsia. Rahsia kehadiran kematian yang bakal menjemput.

“Kak Wah, Ajmal doakan kak bahagia bersama dengan Akhi Hafiy ye”. “Bukan senang kak nak dapat suami macam Akhi Hafiy tu. Yelah dah lah hensem macam Ajmal, baik lagi tu.” Kata Ajmal sambil tersengih.
Usikan terakhir Ajmal, sebelum rebah disisinya.
Ajmal, lelaki yang menjadi teman suka dan dukanya. Adik yang dijaganya dari kecil hingga besar. Seperti ibu dan sahabat baik. Semasa kecil, Hulwah sering mengheret adiknya kemana-mana sahaja. Biarpun ke kelas tambahan mahupun ke kelas ko-kurikulum sewaktu bersekolah.

Baik demamnya semuanya diuruskan Hulwah. Tugas itu telah lama digalas olehnya setelah ibunya lumpuh semasa Ajmal berusia 7 tahun lagi. Bagi Hulwah, Ajmal lah yang mewarnai hidupnya. Kanak-kanak pendiam dan mudah merajuk sewaktu kecil dahulu, yang sering menyembunyikan diri pabila dimarahi Hulwah.

Hubungan mereka juga semakin kuat ikatannya selepas ibu Hulwah menghembuskan nafas terakhir sewaktu Hulwah masih menuntut di Matrikulasi.
Bahkan, Ajmal yang mempertemukan Hulwah dengan Amjad Hafiy. Seorang graduan lepasan Kejuruteraan dari Universiti Teknologi Islam, yang kini suaminya. Begitu beria-ia Ajmal mengatur pertunangan dan urusan perkahwinan Hulwah.
Malahan dia meminta Hulwah menyegerakan hari pernikahannya, biarpun ketika itu Hulwah masih berada di semester pertama tahun terakhir pengajiannya.
Rupanya itulah petandanya.

“Begitu besar pengorbananmu, adikku. Walaupun tidak sempat melihat pernikahan Kak Wah yang hanya tinggal beberapa hari lagi, namun Kak Wah, redho atas ketentuanNya.” Sayu hati Hulwah.

“Kak Wah, Ajmal sayangkan kak. Jangan lupakan Ajmal ye kak. Nanti Akhi Hafiy akan gantikan Ajmal, untuk jaga Kak Wah. Lagipun dah lama Kak Wah jaga Ajmal. Dari kecil hinggalah kuat seperti ini.” Gurau Ajmal sambil menunjukkan kekuatan tangannya. Usikan Ajmal tak pernah berhenti. Sering mengusik kakaknya dengan Hafiy. Ajmal tidak akann berhenti selagi muka kakaknya tidak merah padam kerana menahan rasa malu. Bahagia yang kian terasa walaupun timbul rasa walang yang tidak pasti puncanya.
Pusara Ajmal masih merah dan segar. Sesegarnya lafaz sakinah pernikahan Hulwah bersama Hafiy. Sambutan perkahwinan Hulwah dan Hafiy diraikan dengan sederhana dan diringi dengan majlis tahlil adiknya.

Kini Ajmal hidup disisi Hulwah dan Hafiy dengan roh yang berada dalam rahimnya. Setelah membuat scanning , doktor mengesahkan Hulwah mengandungkan anak lelaki. Seorang mujahid yang bakal diasuhnya dengan taat pada Allah dan Rasulnya.

Sambil meletakkan tapak tangan diatas perutnya, Hulwah berdoa.
“Ya Allah, Yang maha menjadikan, Maha Mencipta dan Maha membentuk. Kurniakan kepadaku anak yang soleh. Berikan akal dan hikmah yang baik kepadanya dalam mengharungi dunia ini kelak. Kurniakan jua keimanan yang teguh serta kekuatan taat yang utuh dalam dirinya. Permudahkan langkahannya dalam menuju cintaMu. Perteguhkan kebijaksanaannya kearah memperjuangkan agama dan syiar Islam. Malah, berkatilah hidupnya serta pemudahkan lah ku untuk membentuk dirinya mengikut acuan kitabMu..Amin.”.

Hulwah meletakkan buku Iffah diatas meja dan mengesat air matanya. Kini, matanya beralih kearah laptop di atas meja.

“Ya!Perjuangan perlu diteruskan!” Getus hatinya.
Lantas Hulwah membuka laptop dan mengambil cermin matanya. Tugasan yang perlu diselesaikan dalam menjadi seorang ahli akademik, yang pasti menuntut kepayahan dan kesabaran dirinya. Kajian tesis yang pasti bermanfaat kepada Islam. Insya-Allah.


-TAMAT-

2 comments: