Sunday, October 31, 2010

Mereka Juga Hidup


Telah beberapa hari ini saya memikirkan tentang sebuah pengisian seorang sahabat. Tuturnya bahawa kesedihan dan kegembiraan itu juga adalah makhluk. Saya sedar akan itu, cuma sering terlupa akannya. Manusia yang tak sempurna.

Itulah saya, seperti kamu juga.Saya redha hakikat ini. Sebab itulah kedudukan kita di sisiNya. Perlukan pertolongan-Nya setiap detik dalam memenuhi ketidaksempurnaan.Bahkan ia diakui pengkaji psikologi Barat, mengenai the actualizing tendency in human(Broadley,1999)

Bila berbicara tentang makhluk, bererti ia adalah tentang satu organisma yang mengalami perkembangan pertumbuhan. Samada jasad mahupun emosinya. Jika makhluk itu manusia, maka perkembangannya akan bermula didalam alam roh (rahim) hinggalah bebas merdeka sebagai khalifah di dunia.

" Kemudian Dia menyempurnakanNya dan meniupkan roh (ciptaan)Nya, ke dalam (tubuh)nya dan Dia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati bagimu, (tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur." Surah As-Sajdah : Ayat 9

Andai ia adalah tumbuhan, maka dari sebesar biji benih yang kecil, ia akan membiak hingga menjadi sepohon pokok yang indah dan rendang daunnya. Serta menjalankan tugas pada Tuhan dan berbakti kepada manusia.

"..kemudian Kami belah Bumi dengan sebaik-baiknya , lalu di sana Kami tumbuhkan biji-bijian, dan anggur dan sayur-sayuran, dan zaitun dan pohon kurma, dan kebun-kebun (yang) rendang, dan buah-buahan serta rerumputan, (semua itu) untuk kesenanganmu dan haiwan ternakmu." Surah Abasa: Ayat 26-32

Begitulah petunjuk Allah mengenai setiap ciptaanNya. Semuanya melalui proses. Proses yang menunjukkan kesempurnaan rekacipta Allah. Begitu juga perasaan, emosi dan pemikiran. Ia adalah makhluk Allah yang hidup. Makhluk Allah yang dihembuskanNya kepada kita.Juga membiak dan berkembang mengikut proses.

Merasa sedih, berasa bahagia, ditimpa duka, hadir cinta dan timbul benci. Itu semua adalah makhluk. Kejadian makhluk yang menempuhi proses. Ia berkembang dan membesar. Wujud untuk dipinjamkan kepada manusia. Datang dan pergi, jikapun ia antara makhluk.
Hidup didalam manusia, dengan izin Allah digunakan oleh manusia. Contohnya cinta yang ditiupkan ke dasar hati manusia. Sudah tentu dengan kehendakNya, tetapi di bajai oleh manusia, hingga ia membesar dengan utuh. Hidup mekar dalam jiwa kita.Jika mengikut acuan Ilahi prosesnya, maka beruntunglah pancaindera. Jika sebaliknya, merana lah di dunia dan akhirat.

Contoh benci pula. Ya, ia juga makhluk yang hidup. Munculnya untuk kebaikan. Bukankah setiap yang Allah jadikan itu tidak sia-sia?. Begitu juga perasaan benci. Benci kepada kemusnahan akhlak, kepada perkara sia-sia, itulah benci yang membawa kebaikan kepada kita. Bukannya benci kepada sesama manusia lalu membawa kepada permusuhan yang tidak bertempat. Seolah-olah seperti manusia adalah musuh asas, sedangkan syaitan itulah seteru kita. Dan benci juga makhluk yang boleh dididik dengan mencari bagaimana cara hendak membimbingnya.

Sekalipun begitu juga perasaan tenang. Kedatangannya mendamaikan jiwa. Memberi keindahan biarpun sedang dipalit kesibukan mahupun kesukaran. Setiap pekerjaan menjadi mudah, pertuturan menjadi lancar. Itulah makhluk yang bernama ketenangan. Datang dengan usaha manusia yang ingin mencarinya. Manusia yang berusaha, akan menemuinya. Antara kaedahnya, ialah proses meninggalkan dosa. Kerana dosa itu kan menghijab hidayah ke hati. Sedangkan makhluk bernama ketenangan ini pula sesuatu yang bersifat indah, cantik serta bercahaya yang hadir bersama hidayah.

Justeru kita perlu lebih berusaha meninggalkan dosa.

Pertama, tutup atau kawal saluran yang menjadi sumber kekuatan kedatangan dosa. Seperti lagho umpamanya. Biasanya, lagho ini akan membawa kepada sesuatu yang lebih besar, seperti mengumpat, fitnah, mengeji, riak. Perbualan yang bermula dengan cakap-cakap kosong ini akhirnya akan membawa 'isi' kepada penyampainya. Kebanyakan isinya adalah dosa. Mudah untuk dilihat.

Cuba kita renung setiap perbualan kita di laman sosial maya iaitu facebook. Teliti semula setiap perkataan yang kita bualkan. Perhalusi, mesti akan jumpa unsur-unsur lagho yang saya maksudkan, walaupun hati kita bertegas mengatakan kita tidak bermaksud sedemikian. Namun sebenarnya itulah yang berlaku. Terselit dosa-dosa "kecil" yang tidak disedari, yang akhirnya berkembang menjadi semakin besar. Kerana ramai pula yang turut menyertai komen.Bagaimana hendak bertemu ketenangan jika hati berterusan diselindungi oleh dosa 24 jam (facebook).

Kedua, penuhkan aktiviti kita dengan perkara-perkara kebaikan. Pujuk diri menambah ibadah sunat. Mungkin kita tidak kuat kerana ada 'kurangnya' ibadah wajib kita. Maka, bermulalah dengan hal-hal sunat yang ringan, seperti memulakan semua pekerjaan dengan bismillah, misalnya. Ataupun berusaha melakukan sunat Dhuha seminggu sekali. Cuba dahulu. Lama-kelamaan dari seminggu sekali akan menjadi seminggu tiga kali, dan seterusnya dilakukan setiap hari. Kenapa? Kerana telah datangya perasaan nikmat dalam beribadah.

Perkara ketiga pula, iaitu yang juga telah digariskan oleh Imam al-Ghazali didalam kitabnya Minhajul Abidin ini ialah, terus-terusan berdoa kepada Allah. Jangan putus berdoa supaya kekal konsisten dan berdisiplin dalam melakukan kebaikan dan menahan daripada membuat keburukan.Kerana doa itu sumber datangnya bantuan Allah. Dan ia juga makhluk yang melalui proses, mujahadah itulah laluannya.

Kesimpulannya, itulah proses makhluk-makhluk ini yang hidup. Perkembangan berterusan yang perlukan penjagaan rapi daripada manusia dengan berusaha dalam menjadi hambaNya. Sedarlah bahawa mereka juga hidup.Hidup bersama dengan kita atas kebenaran Allah yang menjadikannya. Petunjuk Allah kepada sesiapa yang memikirkannya.
Kepada mereka yang dikurniakan akal. Dan menggunakannya semaksima mungkin sebagai hamba. Berusaha menjadi mukmin dan golongan kanan serta orang yang beriman. Seperti firmanNya :

" Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia, dan tidak yang akan memahaminya kecuali mereka yang berilmu. Allah menciptakan langit dan bumi dengan haq (hikmah).Sungguh,pada yang demikian itu pasti terdapat tanda-tanda(kebesaran Allah)bagi orang-orang yang beriman" Surah Al-Ankabut:43-44

No comments: