Saturday, April 2, 2011

Are you mature?


Kematangan merupakan elemen penting yang perlu ada dalam setiap diri individu.Persoalannya, bagaimana ia boleh terbentuk? Umumnya kematangan di bentuk melalui learning process daripada pengalaman dan didikan yang diperoleh daripada persekitaran. Agama , kepercayaan dan budaya juga merupakan faktor penentu dalam membina kematangan. Malahan terdapat pelbagai takrifan yang diberikan untuk mendefinisikan apa itu matang. Terutamanya dalam kalangan remaja. Suka untuk saya fokuskan isu ini kepada dua golongan, iaitu remaja dan belia. Hal ini kerana ia adalah antara tahap perkembangan manusia yang agak crucial dan critical. Umumnya, pada peringkat usia ini adalah peringkat peralihan dan transformasi individu akibat perubahan biologikal dan psikologikal manusia.



Hakikatnya kita perlu matang. Jika tidak mampu, sekurangnya berusahalah untuk matang. Jika tidak, kita seolah berada di dunia fantasi, kerana realiti kini kian menuntut manusia untuk lebih matang dalam menilai kehidupan seharian. Samada dalam perhubungan sesama manusia mahupun karakter kita sendiri. Hujahnya mudah. Kerana kita semakin dewasa, umur kian meningkat, tanggungjawab kian bertambah dan akhirat kian mendekat.


Bahkan remaja dan belia adalah tempoh individu menjalani beberapa tugas perkembangan seperti yang dinyatakan oleh Havighurst ( 1972), mengenai Teori Tugas Perkembangan. Iaitu tugas perkembangan yang melibatkan ketrampilan ataupun kebolehan, pengetahuan, fungsi dan sikap yang perlu ada serta dicapai melalui kematangan fizikal, harapan sosial dan usahanya sendiri.


Tetapi jika menurut fiqh Islam, manusia dikaitkan dengan tanggangjawab hukum yang dituntut ke atas setiap individu iaitu anak-anak dibawah umur , pra dewasa atau remaja tanggungan, dewasa (akil baligh) dan orang tua yang tidak dikenakan tanggungjawab hukum. Manusia ditentukan kewajipan melaksanakan tanggungjawab kepada Allah, Rasul dan masyarakat. Maka, Islam menetapkan usia baligh dan akal sempurna sebagai titik ukur. Penentuan umur baligh penting kerana ia menentukan samada remaja sudah sampai tahap mukalaf ataupun tidak.


Mukalaf dimaksudkan ialah individu yang sudah cukup umur dan diwajibkan mematuhi hukum-hakam Islam. Hal ini di mana kita dipertanggungjawabkan ke atas segala tingkah laku serta perbuatan seperti yang disebutkan dalam al-Quran kita adalah fata dan ada hadith menyatakan ia adalah syabab iaitu remaja, belia dan pemuda. Menurut tafsiran Imam Syafie, umur baligh bagi perempuan ialah 10 tahun qamariyyah dan lelaki pula 12 tahun qamariyyah. Biarpun demikian ia turut dipengaruhi oleh keadaan dan persekitaran individu. Tidak hairanlah kenapa definisi belia berbeza setiap Negara. Contohnya Negara Hong Kong takrifan cukup umur adalah pada umur 10 tahun dan Negara Brunei Darussalam pula 15 tahun.


Oleh itu kematangan itu penting. Bahkan jika diperhalusi berapa ramai dalam kalangan kita kurang matang dalam menilai sesuatu, mudah prejudis dan berfikiran sterotaip terhadap sesuatu perkara. Malahan, ada juga yang mengamalkan budaya malas dalam berfikir, tidak cakna dengan persekitaran serta banyak alasan.Mudahnya kematangan itu boleh dibina apabila berlakunya proses pembelajaran. Terutamanya daripada sekolah kehidupan yang pasti memberi sejuta pengajaran. Malahan kematangan juga adalah fasa berlakunya perubahan dan penyesuaian kognitif iaitu dalam aspek pemikiran, emosi dan mental.


Melalui perubahan ini, kita akan meneliti setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian dan mampu untuk menilai baik buruknya serta seterusnya membawa kepada pembuatan keputusan yang sesuai. Walau bagaimanapun, ia tidak semudah yang disangka. Hal ini kerana wujudnya pelbagai pengaruh yang mengasak kematangan kita kembali ke titik permulaan. Bahkan, kematangan mental yang wujud pada hari ini juga tidak selari dengan kematangan fizikal yang sedia ada.


Jadi perlukah kita terus menunggu untuk sampai masanya menjadi matang atau terus berusaha mematangkan diri?

No comments: