Tuesday, May 28, 2013

Cerpen: Titip Musafir



“Masya’Allah , aku dah terlewat !” rasa kesal timbul di hati Muadz.

“Jika ikut perkiraan jam, sepatutnya masih sempat lagi.Terpaksalah sekali lagi bermalam di sini.” Muadz bermonolog seorang diri.

Seusai melaksanakan solat jamak takhir maghrib dan isyak’, Muadz membuka al-Quran birunya. Terasa hilang segala lenguh pada urat badannya setelah dua jam duduk di dalam penerbangan. Firman-Nya seolah-olah memberi sentuhan air sesejuk  air sungai di Kampung Rosok.

Segar ingatan Muadz terhadap kenangan kesejukan suasana kampung itu. Rata-rata penghuninya merupakan penganut beragama Kristian . Kenangan mengikuti tamrin di situ membuka hati Muadz secara spiritual dan fizikal.  Tidak semua ahli gerakan Islam mampu mengikuti tarbiyah fizikal yang melibatkan kerahan tenaga serta situasi yang menekan emosi.

“Kesusahan sesuatu keadaan akan mendidik dua unsur utama dalam diri manusia. Nafsu dan akal. Nafsu dalam menjatuhkan ego, rasa bangga diri dan kemarahan. Kesulitan yang dihadapi pula akan mentarbiyah akal dalam membuat keputusan. Tidak terburu-buru dan dipengaruhi emosi.Ini semua adalah tarbiyah langsung dalam membentuk ahli gerakan Islam yang kuat dan berpendirian utuh dalam memegang syariat serta terus bermujahadah dalam mengikuti akhlak Rasulullah SAW.” Masih terngiang-ngiang kata-kata Ustaz Taib semasa slot ceramahnya di dalam tamrin itu.

“Alhamdulillah. Tarbiyah dalam jamaah Islam memberi kekuatan dalaman kepadaku dalam meneruskan dakwah.” Bisik Muadz di dalam hati.

Muadz kemudiannya memakai kasut dan berjalan keluar ke kawasan menunggu di persekitaran Hentian Setia. Setelah menemui tempat duduk yang sesuai, iaitu jauh dari kesibukan manusia. Muadz melabuhkan punggungnya dan menyandarkan badannya yang keletihan. Terasa sedikit suram dan kelam kedudukan tempat yang di ambilnya.

“Tak mengapalah,janji selesa.” Getus hatinya.

Setelah tiba dari Tanah Borneo dan kemudiannya terus bergegas ke  Hentian Setia, benar-benar memeritkan kakinya. Lenguh dan kepenatan.

Muadz kemudian mengeluarkan buku yang sentiasa menjadi penemannya. Walaupun jerih tenaga di rasakan, tapi pabila membuka buku kesukaannya, pasti mata Muadz akan menjadi luas dan bercahaya semula.

Sehelai demi sehelai Muadz membuka nukilan penulis buku yang di gemarinya. Sedang asyik Muadz menyelami bait-bait ilmu di dalam buku itu, tiba-tiba melintas satu bayangan di hadapannya.

Muadz sedar tetapi  tidak mengendahkannya. Namun, sekali lagi bayangan hitam itu melintas sepantas kilat. Kali ini, Muadz meletakkan bukunya. Rasa marah dan sedikit terkejut dengan gangguan daripada makhluk yang tak di undang itu. Muadz melihat jam di tangannya. Jam hampir menunjukkan pukul 3.30 pagi.
Muadz mengangkat kepala dan memandang sekelilingya. Hanya dia berseorangan di situ.

“Ah, mainan perasaan ja ni.” Muadz menggosok matanya.
Baru sahaja tangan di letakkan ke bawah ,terasa satu hembusan kuat di leher Muadz.

“Astagafirullah.Memang dah melampau!” jerit hati Muadz.

Namun, belum sempat Muadz berbuat apa-apa. Badannya terasa seperti di tarik ke atas dan terapung. Mulut Muadz seolah-seolah di kunci. Hinggakan kalimat suci al-Quran tidak terlafaz di bibirnya. Bahkan, kaki dan tangannya seperti terikat kuat oleh sesuatu kuasa yang tidak di ketahuinya. Hanya mata Muadz meliar kanan dan kiri. Kosong pandangan alam sekeliling. Gayanya seperti di dalam gua  yang gelap.

Muadz diam dan terus menenangkan dirinya.Kali ini hanya hati Muadz yang berbicara.

Perlahan Muadz mengalunkan surah al-Fatihah, kemudian di ikuti surah an-Nas, al-Falaq, al-Ikhlas dan juga ayatul Kursi. Langkah pertama darinya, menggunakan  ayat al-Quran sebagai bentengan diri.

Seperti firman-Nya, bermaksud : “ Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” Al-Isra’: 82.

Muadz tahu, terdapat satu kuasa ghaib yang cuba menguasainya.

Kemudian muncul satu suara yang pelik di telinga Muadz.

“Gusti Allah kula nyuwun ngapura.Gusti Allah kula nyuwun ngapura.Sakathahing dosa kula, dosa alit kalawan dosa ageng. mBoten wonten ingkang saget ngapura. mBoten wonten ingkang saget ngapura. Sakabehing dosa kula. Kajawi namung paduka.”

Kedengaran Jawa bunyinya.

“Masya’Allah, kali ini apa pula.” Kata hati Muadz tatkala menghadapi gangguan itu.

“Itu adalah selawat Jamjaneng dalam bahasa Jawa, yang bermaksud ,‘ O Ya Allah hamba mohon ampun, O Ya Allah hamba mohon ampun. Seluruh dosa-dosa saya, dosa yang kecil dan yang besar. Tidak ada yang dapat mengampuni . Tidak ada yang dapat mengampuni . Seluruh dosa saya. Kecuali hanya Allah.” Sekali lagi suara itu bergema memenuhi corong telinga Muadz.

Cahaya yang gelap kemudiannya menjadi terang. Seperti sedang berdiri di bawah bulan purnama yang cahayanya hanya samar-samar bayangan di permukaan air.

Tidak jauh dari Muadz, kelihatan sebuah sosok tubuh sedang melangkah ke arahnya.

Kelihatan wajah seorang lelaki yang berbalut serban hitam, aba yang membalut tubuh sasa serba putih. Ada keris tersisip di pinggang sementara janggutnya kerinting memutih dan panjang hingga melepasi dada. Lagaknya seperti wali Allah. Berserban hitam bukat sebagai tanda seorang keturunan sayyid.Malahan sekeliling wajahnya bagaikan ada cahaya yang menerangi.

“ Jangan gusar hai anak muda. Kedatanganku bertujuan baik.” Wajah itu kemudiannya bersuara.

Kelihatan tenang sahaja wajah dan senyumannya.

Muadz tahu dirinya tidak perlu terlalu takut. Kerana, di hadapannya kini juga merupakan makhluk Allah SWT.

Makhluk yang di ciptakan daripada api itu kian mendekat.

Seperti yang termaktub dalam al-Quran.

Maksudnya : “Dan Dia ( Allah ) menciptakan jin daripada nyalaan api.”ar-Rahman : 15

Dan juga,
“Dan Kami ( Allah ) menciptakan jin sebelum ( Adam ) dari api yang sangat panas.” Al-Hijr : 27.

“Dengan lafaz taawudz, Muadz kemudian menyoal.

“Siapakah kamu dan untuk tujuan apakah kamu kemari wahai makhluk Allah.”
Muadz kemudiannya bersuara. Manakala di dalam hatinya, terusan berzikir memohon perlindungan daripada Allah SWT.

“Aku kemari bukan kerana ingin menganggu tempoh istirahat kamu wahai anak muda.”

“Hanyalah satu persinggahan bagi menyampaikan peringatan kepada kaum mu.”
Muadz berasa sedikit kehairanan.

“Jika itu adalah kebaikan dari ketentuan-Nya bagi pertemuan ini, aku sudi mendengarnya.
Muadz mula memberi perhatian terhadap perkara yang hendak disampaikn oleh lelaki yang gayanya seperti wali Allah itu.

“ Setelah sekian alam aku memerhatikanmu anak muda. Tatkala keruncingan duniamu yang semakin dipenuhi kejahilan dan kemaksiatan, aku ke mari dalam menyampaikan peringatan.”

“Ajaklah ahli keluarga, rakan dan juga manusia yang lain dalam meninggalkan kemungkaran. Hedonisme yang keterlaluan telah melemahkan wajah Islam kaum mu. Suntikan keseronokan dunia yang membaluti hati hingga gelap melihat cahaya kebaikan.” Lelaki serba hitam itu kemudiannya terdiam.

Manakala Muadz  sedikit tersenyum kerana tidak menyangka butir bicara jin itu yang gayanya seperti 
manusia di zamannya.

“ Ramai rakan mudamu telah terbuai dengan rasa seronok hidup dan kurang menggemari sumber ilmu seperti kuliah ilmu dan kitab.”

“Ahli keluarga sekelilingmu pula lebih mementingkan harta berbanding hubunga kekeluargaan. Keretakan hubungan terus berleluasa dan menyukarkan pembentukan keluarga beriman.”

‘’Sang penguasa dan pemimpinmu leka dengan nikmat kuasa serta harta milik masyarakat yang dibawah pimpanannya. Kemewahan telah menyekat hati mereka untuk menguruskan pentadbiran selayak khalifah warisan Islam. Tidak ingatkah kamu terhadap lantikan manusia dibumi ini adalah sebagai khalifah dalam mentadbir demi keunggulan islam?”

Semakin menaik gaya suara lelaki itu.

Getaran hati Muadz kian terasa.

Terlihat sedikit riak keseriusan dan kekecewaan pada wajah mkhluk itu.

Barangkali sedih dalam memikirkan umat zaman ini.

“Kembali semula kepada ayat-ayatNya dan insafi balasanNya kelak.”

FirmanNya dalam anNisa ayat 56, bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka di dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan ingatlah sesuangguhnya Allah adalah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

Sunday, July 10, 2011

Cerpen : Suci Itu Dari Hati


Angin dari Bukit Klid begitu perlahan berlalu mengenai pipinya.Rasa sejuk kian merona di pipi Balqis kerana molekul hidrogen dan oksigen yang menyalutinya.

Sayup-sayup diiringi alunan ayat-ayat al-Quran daripada orang yang dikasihinya.Rutin harian Ajdar, suami Balqis. Teman dakwahnya dulu sewaktu kuliah di Universiti al-Fateh,Malaysia.Di jalan dakwah mereka bertemu jodoh. Ikatan hati mereka terlalu rapat dan utuh.Ditambahi dengan kehadiran lima orang cahaya mata yang menjadi penawar suka serta duka Ajdar dan Balqis. Mahar dakwah berkat kesabaran dan perjuangan mereka terhadap agama.

Seperti firman Nya :" Barang siapa mengerjakan kebajikan, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (Surah an-Nahl : ayat 97)

Thursday, June 30, 2011

Cerpen : Milky Chocolate


Atiyyah terasa begitu keletihan, setelah seharian ke kuliah. Hari Selasa seperti biasa,jadual kuliahnya begitu padat sekali.Akhirnya, di penghujung hari, mukanya akan kelihatan pucat kerana kepenatan.Lebih-lebih lagi pula Atiyyah sedang berada dalam tahun akhir di universiti.Begitu banyak tugasan yang menuntut pengorbanan dan kekuatan dalam usahanya sebagai seorang pelajar yang bakal bergelar graduan.

Friday, June 24, 2011

Nota pena


Salam pertemuan penuh mahabbah...

Subhanallah, betapa indahnya jiwa bila di isi dengan tinta suci kalam Ilahi..Kerana begitu berbeza perasaan jika awal usia pagi tidak mengalunkan bacaan al-Quran dek kerana hambatan waktu yang menuntut kepantasan tenaga.Pernah beberapa hari saya tidak berkesempatan menjalankan rutin selepas subuh kerana perlu membuat persediaan kes pelatih.Dan cuma sempat melakukan bacaan al-mathurat sementara rakan sekerja memandu kereta ke sekolah. Betapa sukar melalui hari-hari itu dengan sedikit keresahan dihati.Malah rasa sesuatu yang kurang enak dijiwa.

Saturday, April 2, 2011

Are you mature?


Kematangan merupakan elemen penting yang perlu ada dalam setiap diri individu.Persoalannya, bagaimana ia boleh terbentuk? Umumnya kematangan di bentuk melalui learning process daripada pengalaman dan didikan yang diperoleh daripada persekitaran. Agama , kepercayaan dan budaya juga merupakan faktor penentu dalam membina kematangan. Malahan terdapat pelbagai takrifan yang diberikan untuk mendefinisikan apa itu matang. Terutamanya dalam kalangan remaja. Suka untuk saya fokuskan isu ini kepada dua golongan, iaitu remaja dan belia. Hal ini kerana ia adalah antara tahap perkembangan manusia yang agak crucial dan critical. Umumnya, pada peringkat usia ini adalah peringkat peralihan dan transformasi individu akibat perubahan biologikal dan psikologikal manusia.

Thursday, January 27, 2011

Meeting ia bukan sesuatu yang simplistic



Berbeza pandangan di antara satu sama lain adalah lumrah manusia.

Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 118:
Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki,tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu.(Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.

Namun, jika perbezaan pandangan ini tidak diuruskan dan diselesaikan dengan baik, maka ia akan mewujudkan konflik yang akhirnya sukar untuk diselesaikan. Di sinilah bermulanya kepentingan untuk melaksanakan syura.Syura adalah proses perbincangan dan perundingan untuk mengeluarkan keputusan atau untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ia adalah merupakan sebuah medan untuk mewujudkan kesatuan pemikiran (wehdatul fikr) yang akan menjurus kepada kesatuan amal (wehdatul amal).Pandangan-pandangan yang pelbagai ini perlu digarap dan diharmonikan untuk mengeluarkan satu keputusan yang benar-benar matang demi kepentingan bersama.

Saturday, January 1, 2011

5 R ?




Tirai lama telah dilabuhkan. Kini tirai baru pula dibuka. Umpama menutup buku lama dan membuka lembaran baharu. Kenapa saya tidak mengatakan buku baru? Namun, sebaliknya lembaran baharu? Hal ini kerana hidup kita sememangnya begitu. Sebetulnya kita hanya mempunyai sebuah buku, iaitu, buka yang dibuka sebermulanya nafas kita di dunia ini.

Buku yang tidak akan tertutup hinggalah hembusan nafas yang terakhir. Sebuah buku usang yang akan menjadi penentu kehidupan kita di akhirat kelak. Buku amalan yang di catit oleh pesuruh Allah SWT iaitu Malaikat Raqib a.s dan Malaikat 'Atid a.s. Pedamping setia manusia yang disedari serta tidak disedari kehadirannya. Kadang-kadang lupa-lupa ingat tentang mereka, dek kerana nafsu menguasai hati iaitu akal sebenar manusia, seperti yang dikatakan oleh sesetengah ulamak.

Friday, November 19, 2010

Cerpen: Pondok di pinggir Istana



Hembusan angin petang Kota Bejia, memasuki perlahan-lahan ke celah-celah pondok usang , milik seorang janda, Ummi Alfida. Wanita yang telah lima tahun kematian suami,dan juga ibu tunggal kepada enam orang cahaya mata yang pelbagai perangainya.

"Allah. Habis pula beras hari ini."

"Fatonah. Pergi belikan beras di kedai Uncle Tong." Jerit umi pada Fatonah, anak umi yang kelima.

"Ok!Umi."laung Fatonah.

"Makin kayalah kau Tong. Kedai kau pun dah ,makin besar, memang bussiness minded betul." Teringat kata-kata Cik Teh.

"Memang pengampu Cik Teh ni.Hutangnya pun berlambak-lambak dengan Si Tong tu.Tapi macam mana Tong tak kaya, harga barang asyik naik ja." Teringat pula kata-kata dari Cik Tam kepada umi selepas itu.

Saturday, November 13, 2010

Puisi : Dalam hati ada taman...





Dalam hati
ada taman
semaian ketabahan
Hajar dari Safa ke Marwa

Dalam hati
ada taman
kesempurnaan kasih
Ibrahim kepada Hajar

Dalam hati
ada taman
hembusan bait
maghfirah Tuhan

Sunday, October 31, 2010

Mereka Juga Hidup


Telah beberapa hari ini saya memikirkan tentang sebuah pengisian seorang sahabat. Tuturnya bahawa kesedihan dan kegembiraan itu juga adalah makhluk. Saya sedar akan itu, cuma sering terlupa akannya. Manusia yang tak sempurna.

Itulah saya, seperti kamu juga.Saya redha hakikat ini. Sebab itulah kedudukan kita di sisiNya. Perlukan pertolongan-Nya setiap detik dalam memenuhi ketidaksempurnaan.Bahkan ia diakui pengkaji psikologi Barat, mengenai the actualizing tendency in human(Broadley,1999)

Bila berbicara tentang makhluk, bererti ia adalah tentang satu organisma yang mengalami perkembangan pertumbuhan. Samada jasad mahupun emosinya. Jika makhluk itu manusia, maka perkembangannya akan bermula didalam alam roh (rahim) hinggalah bebas merdeka sebagai khalifah di dunia.

Friday, October 15, 2010

Angka akhirat


Syurga ,
neraka itu
hanya angka-angka

syurga
angka pertama
neraka pula
angka terakhir...

cuma.
sampai bila hendak
mengejar angka?

OSC, 11.59 AM 09 DZULKAEDAH 1431 H

Saturday, October 2, 2010

Cerpen: Cahaya Dhuha



Jam hampir ke angka lapan pagi. Bergegas Hulwah ke bilik air untuk mengambil wuduk. Terasa damainya jiwa pabila siraman air wuduk mengenai pancainderanya. Rasa semakin tidak sabar untuk bertemu dengan cintanya. Perlahan Hulwah memakai telekung buatan Indonesia yang dihadiahkan oleh lelaki yang menjadi suaminya, hadiah sempena pertunangan .

“Ya Allah, janganlah Kau biarkan aku rasa berputus asa untuk terus berdoa kepadaMu. Berilah aku kekuatan untuk terus memohon upaya dariMu, meskipun hati terasa jenuh meraih keizinan Mu”. Begitu sayu hati Hulwah di hujung sujud Dhuhanya.

Sunday, September 19, 2010

Mukmin asli



Jiwa mukmin dalam pandanganku adalah seperti jiwa
Salman al-Farisi
yang berzikir dan berwirid tetapi pedang telah dicabut dari sarungnya
dan diletakkan di atas ribanya,
sedangkan matanya liar melihat kalau-kalau ada musuh melintas.

Ilmu bagi mukmin perlulah luas seperti ilmu al-Ghazali.
Keberaniannya setanding Salahuddin al-Ayubi.
Strateginya seperti strategi Saiyidina Umar al-Khattab yang menumpaskan
Rom dan Parsi.

Mukmin asli bukanlah orang yang hanya diam didalam gua batu.
Tetapi ia seperti Ibnu Batutah yang menjelajah dunia.
Dan berjalan gagah seperti Saab bin Abi Waqas.
Gertaknya seperti gertak Sultan Muhammad al-Fateh,
serta
lemah lembutnya seperti lemah lembut Sayidina Uthman r.a

Itulah mukmin yang bangun berjuang
yang tidak pernah tunduk sistem Taghut
yang berjiwa besar dan penuh bertenaga
membangunkan diri dan ummah.

Friday, September 17, 2010

Pilih ceria atau kecewa?



Fa-man sya'a fal-yu'min, wa man sya'a fal-yakfur (Siapa yang mahu beriman, dipersilakan. Siapa yang mahu ingkar, pun dipersilakan) Al-Kahfi: 29

Cantik terjemahan ayat ini, pemberi jawapan terbaik kepada manusia. Cuma bergantung kepada kita sejauh mana memanfaatkannya seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT dan sebagaimana yang disarankan Rasulullah.

Persoalannya. Kita nak pilih gembira atau kecewa. Kedua-duanya terletak didalam tangan. Samada mahu menggembirakan diri sendiri ataupun ,mahu terus kecewa dan derita.Cuba tengok tapak tangan masing-masing. Cuba bayangkan, terdapatnya perkataan SEDIH atau GEMBIRA pula diatas telapak tangan. Kemudian genggam erat-erat tangan dan buka ia semula. Adakah masih wujud salah satu daripada dua perkataan itu? Jika benar, masihkah perkataan gembira atau sedih? Jika gembira, maka berbahagialah. Namun, jika sedih maka rugilah.

Tetapi,biar apa pun perkataannya hakikatnya penentuan untuk memilih GEMBIRA atau SEDIH itu adalah sebenarnya yang telah ditetapkan oleh AKAL yang pemandunya adalah HATI serta NAFSU.
Sekaligus memaknakan bahawa KITA sendiri yang menetapkan apa yang berlaku kepada diri sendiri dengan keizinan Allah SWT melalui qada dan qadarnya.
"Demikian itu disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan sesungguhnya Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya"
Ali-Imran : 182


Maka setiap perbuatan yang kita lakukan adalah tanggungjawab kita sendiri. Nak ceria dan suram adalah pilihan sendiri, samada bijak buat pilihan atau tidak sahaja.
Pilih untuk gembira walaupun batin dilanda penderitaan, maka terhasil lah aura positif yang melahirkan tindak tanduk bahagia dalam perbuatan dan percakapan. Sekaligus akan merangsang nur ceria kepada orang lain. Bahkan mendorong kita untuk terus tabah dalam kehidupan dan ibadah.

Tetapi jika pilih kecewa dan suram, maka aura negatif terbetuk. Wajah yang masam dan tidak bersemangat akan mematikan langkah ke arah kejayaan dan kebahagiaan. Hidup mula menjadi tidak teratur dan hilang fokus pada matlamat hidup. Hasilnya, individu bermasalah yang lesu dan beralasan.

Begitu juga berbuat baik dan berbuat buruk. Berbuat baik jalannya ke syurga dan kemenangan, kalau berbuat buruk pula jalan nya tentu ke arah kehancuran dan kebinasaan ataupun ke lorong menuju neraka. Seperti firmanNya : " Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu.Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh dia memperoleh kemenangan.(Ali-Imran:185)"

Oleh itu, semuanya bergantung kepada kita dalam merencanakan perjalanan kehidupan, dunia mahupun akhirat.. Jika kita jadikan dunia ladang ke akhirat, kita akan berusaha menuai dan bercucuk tanam 'disini' untuk mendapatkan hasilnya 'disana'. Hasilnya bahagia atau derita semuanya berada dalam minda dan akal yang telah dianugerahkan Allah. Cuma terpulang pada diri sendiri.

Berusaha ceria melalui panduanNya, al-Quran, akan menghidupkan hati dan jiwa. Bahagia dunia, iaitu ketenangan pun dapat,dan akhirat pun dapat.

Cuma tinggal mahu atau tidak.Berusaha atau tak. Dan samada berdoa atau hanya berharap.Semuanya kembali kedalam diri sendiri...

Tuesday, September 7, 2010

Berkesempatan kah aku?


Sahabatku bertanya,
Malam ini malam ganjilkah?
Hari ganjil ramadhan
dalam menjejak lailatulqadar....

Ah.
Bagiku itu tidak penting.
Aku tidak membilang waktu
Malah aku langsung tidak mahu mengetahuinya
Yang ku rasakan aku mesti lakukan
Tanpa henti

Aku tidak kisah apa pun
asalkan aku berpeluang bersamaNya
Langsung tidak hirau
aku berada di penghujung waktu

Cuma yang bergetar di hati
Berkesempatan kah lagi aku bertemu dengan RamadhanMu kelak?
dan bersarang dijiwa
Tekad istiqamah, aku perlu teruskan..

Aku hanya tahu,
kesedihanku kepada peluangku bersama Tuhanku

Aku tahu
Bahagianya aku tatkala di akhir waktu ini

dan aku tahu sekarang
segalanya yang ku lakukan adalah ibadah padaMu
sekarang ini, selepas ini mahupun seterusnya.

Hikmah cintaMU yang sukar aku ungkaikan
sukar untuk ku susun ia menjadi ayat dan perkataan
mungkin subjektif dan objektif bagi kamu

Tidak peduli lah apa istilahnya dan dimanakah waktuku berada
Yang ku tahu
Sapaan Mu Ilahi yang tetap
terus ku jejaki...
dengan persoalan yang sering mengekori
berkesempatan kah aku?

Wednesday, August 18, 2010

Cukupkah sekadar berpuasa?



Ramadhan kali ini, aku nak khatam al-Quran. Ya yakin boleh!

Dah start puasa. Hmm, kali ini aku akan bersungguh tinggalkan perkara-perkara lagho, contoh perbualan tidak berfaedah di facebook, dan menonton televisyen. Pasti boleh!
____________________________________________________________________________________

Mungkin anda pernah dengar ayat seperti diatas bukan? Tidak kiralah samada daripada mulut orang lain mahupun kata hati anda sendiri. Berazam sempena kedatangan bulan penuh barokah.

Namun sayangnya, azam ini hanyalah manifestasi kata-kata tetapi bukannya tindakan.
Pernah anda berkata aku nak buat itu, nak buat ini, dan akhirnya lain yang anda lakukan. Apa yang diperkatakan tidak sama dengan apa yang dilakukan.Sedangkan Allah sangat membenci sesiapa yang mengatakan sesuatu yang tidak dikerjakan.

Kenapa? Masih jadi begini?

Pertama sebab NAFSU yang masih menapak didalam diri.
Kedua ketulusan NIAT dan kesungguhan yang dicemari dengan maksiat.
Ketiga kekurangan kekuatan ISTIQAMAH terhadap apa yang diazamkan.

Nafsu dalam diri.Ya, musuh kita selepas syaitan. Masih bersama walaupun sahabatnya dirantai sempena ramadhan. Nafsu yang telah 'dilatih' oleh jurulatih-jurulatih neraka sebelum ini. Tidak perlu kepada bantuan mereka, NAFSU sudah berdikari sendiri walaupun rahmat Allah tidak terhijab di bulan mulia ini. Itu sebabnya kenapa kemungkaran masih berleluasa walaupun melangkah kedalam bulan pesta ibadah.

Kerana latihan sebelum ini membiasakan kita. Ghibah dan perbincangan perkara-perkara melalaikan telah menjadi rutin sebelum ini akibat godaan syaitan jurulatih terlatih yang tidak jemu mendekati dan menyesatkan manusia.Sesat dalam nafsu sendiri dan akhirnya keliru dalam melawan diri untuk memaksa hati beribadah kepadaNya...Kemudian timbul pula perasaan hairan semakin susah pula menguatkan mujahadah di waktu free dari godaan macam ini. Pelik bukan?
Sepatutnya, ramadhan adalah bulan recharge tenaga untuk sistem imuniti bagi 11 bulan yang seterusnya.

Namun, berapa ramai kah dikalangan kita menghayati pengertian puasa? Dan adakah kita
benar-benar beradab melaluinya? Sabar mendepani tugasan kuliah dan kepenatan berjalan kaki menuntut ilmu? Sedangkan Rasulullah SAW menyifatkan puasa itu adalah separuh daripada kesabaran.

Jauhkah kita daripada perkara-perkara maksiat seperti mengumpat dan mengeji yang bisa menarik sakinah dihati...

Sudahkah kita membaca dan mentadabbur alQuran dan mengalunkan zikir-zikir penguat hati menghadapi pancaroba puasa.

dan pernahkah terdetik dan terfikir hikmah dan ibrah ibadat puasa yang totalitasnya boleh diambil dari sirah nabi.. Sirah perjuangan sahabat Nabi yang tetap mampu mengangkat pedang di tanah Badar? Sedangkan kita hanya berjihad dengan pena dan minda, yang cuma membutuhkan sedikit tenaga.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang mu'min, dari diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah lalu membunuh atau terbunuh , (sebagai) janji yang benar dari Allah d didalam Taurat, Injiln dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, demikian itulah kemenangan yang agung." (Surah al-Taubah :111)

Maka tepuklah dada tanya minda...Apakah NIAT mu pada awalnya...

Dan niat ..sejauh mana ketulusan NIAT dan kesungguhan kita melindunginya daripada dicemari dengan maksiat. Maksiat hati yang bersumberkan daripada Facebook, mesej telefon bimbit dan juga sumber teknologi yang lain.

Betapa mudahnya hati dimasuki jangkitan maksiat yang sukar dikesan dengan keimanan yang sering turun naik.Hal ini disebabkan pertolongan Nafsu yang membenarkan setiap tindakan yang lalai dan bertentangan syariat. Maka wujudlah self defend mechanism sebagai gunung alasan. Alasan yang menghalalkan tindak tanduk Facebook seperti berchatting,berkongsi pendapat yang mengundang persengketaan dan melihat gambar-gambar yang bukan mahram dengan niat berseronok-seronok.

Akhirnya tercemar lah Niat Ramadhan yang pada awalnya berniat untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa. Bahkan sebaliknya tamat dengan niat yang dikotori dengan mazmummah yang melekat. Yang pastinya akan mencacatkan perjalanan mujahadah yang seterusnya.

Realiti umat yang yang penuh sifat pentingkan diri hasad dengki dan riya'..
Kesudahannya kita masuk dengan baki dosa sebanyak 56 % dan keluar dari bulan ramadhan dengan penambahan kepada 78% .. Kesan daripada 'kalah' dengan nafsu yang bertopengkan sifat diri yang rasa sukar di ubah. Sedangkan hendak menjadi umat cemerlang , perlu lah ada sikap mencabar diri sendiri dalam mengejar cinta Tuhan.

Itulah peranan ISTIQAMAH dan kekuatan Hati dalam mengkonsistenkan niat dan amal.
Perlu ada kesungguhan dalam setiap perkara. Dan bukannya melayan kelemahan diri. Misalnya untuk istiqamah iftar secara jamie dan solat tarawih di surau mahupun masjid.

Berusaha untuk melakukannya walaupun rasa letih memuncak dalam diri. Melainkan betul-betul ada kekangan yang tidak mampu dielakkan.
Begitu juga memaksimumkan gurauan dalam percakapan biarpun mulut seperti rasa tidak mampu menahan daripada pertuturan yang melucukan.

Begitu juga dengan belajar. Sukar untuk mengembalikan momentum semangat untuk mendasyatkan usaha dalam merealisasikan cita-cita mahupun harapan keluarga. Ya, kadang-kadang kita terlupa cita-cita keluarga kita terhadap kita. Cita dan angan mereka yang telah dipasang sejak kita masih kecil kaki sebesar dua telapak jari hinggalah menginjakkan kaki ke universiti. Istiqamah dalam perjuangan akademik.

Kadang-kadang kita kabur dengan kesukaran dan kesedihan yang berlaku disekeliling, dan akibatnya kita hilang arah tuju. Hakikatnya, di usia sebegini kita sudah bisa menetapkan matlamat untuk diri sendiri dan keluarga kita. Kerana hendak menjadi muslim hebat memerlukan usaha kuat pada awalnya. Bukannya berusaha kelak ataupun sampai masanya. Kerana usaha dan istiqamah inilah yang akan membuahkan kemanisan pada akhirnya. Lebih-lebih jika ia berlandaskan keimanan kepada Allah SWT. Pasti nikmat itu akan berlanjutan hinggalah ke hari pertemuan denganNya.

Nah! Ramadhan ini lah masa muhasabah kembali. Bukan sahaja meneliti jadual ibadah kita. Tapi juga seluruh kehidupan kita, kerana islam itu syumul. Tempoh mengoreksi diri sendiri yang telah Allah sediakan secara khusus kepada kita. Bulan melihat apakah khabar hubungan kita dengan Allah? Dengan keluarga? Akademik? Sahabat? dan akhlak kita.

Maka bersegeralah pupuk semula kesungguhan, untuk mengoptimunkan usaha dan langsung ISTIQAMAH. Kekuatan umat islam itu bukan pada kebijaksanan sahaja tetapi kolobarasi inside strength to outside action.


Akhirnya kawal lah nafsu dan bersihkan niat untuk mengekalkan istiqamah..

Monday, August 16, 2010

Getir ??



Masih rasa getir dan gentar?
Rasa putus asa? Berseorangan di jalan ini?

Sedarlah diri, nafsu dan syaitan bisa menganggumu…
Cuba mengugah semangat dan kekuatanmu..
Melemahkan sifat istiqamah yang sering turun naik…
Gangguan yang tidak akan berakhir hingga kiamat.
Itu janji Iblis pada anak Adam…

Jadi mengapa membiarkan kelemahan itu menguasaimu?
Sedangkan hakikat terbentang di hadapan..
Walaupun sepahit mana hakikat itu, namun itulah ketetapanNya..

Tidak kah engkau diri mengenali Khaliqmu?
Al-Nur? Al-Fattah? Al-Tawwab? Al-Hadi? Al-Ghaffar…
Yang sering engkau akui tapi tidak engkau selami..
Betapa Allah itu sedia di sisimu..
Tidak pernah letih mendekatimu..
Cuma kau tidak sedari kerana kecewamu pada fitrah diri..
Sedangkan Dia lah Al-Basit, Al-Rafi’ dan Al-Adl..

Fitrah yang menjadi hujahmu itu hanyalah fatamorgana dunia..
Walhal kekuatan itu terletak di Hati yang diikat pada tali Tuhan.
Kebergantungan mu kepada Nya yang menentukan taraf
Keterikatan hati..

Terikat kejernihan hati yang lahir dari cecahnya dahi ke pangkuan Ilahi,
Serta ringannya tapak tangan diangkat kepada yang Maha Esa..
Bersama titisan air mata sesalan dosa yang tak pernah berhenti.
Cukup, berhentilah memandang persekitaranmu, teruskan ke
destinasi cinta terkahir yang pasti..

Friday, August 6, 2010

Disebalik rasa...


Merasai sesuatu dengan hati bukannya dengan kekuatan fikiran yang keluar dari andaian semata-mata. Jika bersihnya hati maka sudah tentulah biasnya cahaya itu dari sudut yang benar. Tetapi jika selalu dikotori maka wujudlah seribu prasangka yang membawa kepada dosa. Ukurannya ialah pada HATI. Dari itu, mengambil sikap curiga pada telahan hati sendiri itu lebih selamat. Kita curiga tentang sesuatu yang dibentangkan kerana kita bimbang ianya merupakan sebuah rasa yang telah salah. Apa pun yang penting bersihkan hati, sehingga ia melahirkan cahaya yakin pada setiap bicaranya. Sekiranya yakin itu sudah menguasai diri sesudah ia cuba menafikan sesuatu hal yang buruk maka benarlah itu adalah petunjuk dari Tuhannya. Allah SWT menjadi pembimbing kepada orang yang beriman dan mengeluarkan dirinya dari kegelapan kepada cahaya. Misalnya seperti Allah SWT mendatangkan rasa bahagia dihati hambaNya tatkala ia melakukan apa jua ibadah. Kita mampu melakukan hal-hal yang zahir tetapi atas urusan hati semuanya kembali kepada Allah SWT yang menentukan.

Mintalah kepada Allah SWT ,nescaya kita akan memperolehinya, kerana Allah sahaja yang berhak mengagihkan redha kepada sekalian alam. Allah tidak ada sekutu dengan sesuatu dalam hak keagunganNya dan tidak ada sekutu dengan sesuatu ketika memberikan sesuatu nikmat. Malahan jika Dia mencabut nikmat itu tidak ada sesiapa yang mampu memberikannya.

Dimana sahaja wajahmu dihadapkan disitulah wujudnya Allah SWT sehingga ketika matamu terpejam dari melihat hakikat realiti dihadapanmu itu jua adalah tanda wujudnya Allah SWT. Kalau tidak, masakan orang buta juga beriman dengan sesungguhnya? Bahkan, kadangkala dengan mata yang terpejam lebih cepat hati itu merasai kerana ia tidak terpengaruh dengan lukisan dihadapannya. Jika ia mampu melihat sesuatu itu dengan pandangan disebalik sebuah objek maka itu lebih baik.Dimana kita hanya akan berfikir tentang Allah, tentang kekuasaanNya,serta tentang pentas dunia yang akan dilabuhkan tirai kehidupannya. Maka dari situlah kita akan membangunkan sebuah rasa kebergantungan dengan maha pencipta sambil menafikan semua kehadiran yang lain dihatinya.

Disini, kita akan tidak pernah merasa kesepian dalam keseorangan dan juga tidak rasa lupa dalam keramaian sehinggakan benar-benar ia takut hatinya tidak lagi dapat mendampingi Tuhannya. Begitulah perjalanan hati yang sentiasa menanti dan mengharap sapaan Tuhannya. Ia dapat merasai kesemuanya itu walaupun sukar padanya mengungkapkan sebuah rahsia cinta antara hamba dengan Tuhannya.

Dia mencintai semua orang yang sama-sama berjalan diatas jalan yang sama meskipun memiliki cara yang berbeza, kerana jelas padanya semestinya semua orang mencari jalan yang membawa petunjuk.

Rasa ingin kepada petunjuk itupun satu anugerah yang ditentukan Allah. Kecuali dia lari dari petunjuk kerana fatamorgana yang tidak upaya hatinya menolaknya. Itupun sesudah datang ingatan dari Allah SWT ia menjadi sedar kembali. Alangkah besarnya kasih sayang Allah SWT pada hambaNya atas kesempatan yang tidak pernah kurang .

Persoalannya, kenapa ia tidak sedar bahawa ia sebenarnya mengikuti jalan yang salah sehingga ia berada di ambang kematian? Ini di kembalikan semula yang menjadi neraca ukur. Hati lah yang sebenarnya kotor sehinggakan kejahatan mampu bersembunyi dibalik kebaikan yang dilakukannya. Ruginya jika situasi ini berlaku pada diri kita, walaupun seribu kebaikan telah dilakukan ia tidak ubah seperti debu-debu yang berterbangan.

Oleh itu, hati perlu kuat menempuh sebuah rasa. Kerana semakin kuat rasa itu, semakin jenuh kita mengatur hati agar berlaku adil dengan melihat hikmah yang tinggi. Sebaliknya, jika semakin hati giat mencari celanya sebuah cerita sampai bilapun ia tidak mampu mengambil iktibar dari sesuatu kejadian.Lebih-lebih lagi andaikata ia sendiri mengakuinya semua yang dirasainya adalah benar belaka.

Seperti nukiilan seekor burung dan manusia. Burung yang terbang tinggi merasai kecilnya upaya manusia dibawahnya hanya mampu berjalan dengan lelah dan terbatas melalui liku-liku yang banyak sedangkan, ia mampu merentas tanpa batas.Sesakali rasa itu menjadi kebenaran tetapi tatkala hujan lebat, manusia menggunakan tempat perteduhan bagi meneruskan kehidupan, sedangkan sang burung bersembunyi dibalik ranting didalam kesejukan. Demikian ajaibnya rasa hati...

Saturday, May 15, 2010

Satu Tekad..


“Alhamdulillah. Akhirnya sampai juga ke bumi Semenanjung ini.” Aku segera keluar mencari tempat duduk. Terasa sakit kaki ini. Kesan daripada kemalangan beberapa minggu yang lepas masih terasa.

Aku kuatkan hati untuk terus bertahan. Insya’Allah. Sesungguhnya Allah akan menguji kesungguhan hamba-hambaNya.

Selesai menunggu sahabat ku mengambil barang-barang mereka, akhirnya sampai masanya kami berpisah. Sebak dan sayu sebenarnya hati kami pada ketika itu, kerana akan berpisah dengan seorang kakak yang menjadi pembimbing dan penasihat kami selama ini.

Aku dan kakak itu. Pelbagai cabaran yang telah kami tempuhi sepanjang berada di kampus. Pendengar setia kepada bicaraku. Masih aku teringat, dia sanggup menemani aku berkongsi cerita . Pada ketika itu kami duduk di benteng jalan sambil menunggu sahabatku mengambilku yang baru selesai bermesyuarat. Dia tetap menahan matanya sambil mengukir senyuman kerana ku.Biarpun jam menunjukkan hampir pukul 3 pagi. Serta pada ketika itu kami masing-masing keletihan setelah bertungkus lumus memerah minda di dalam mesyuarat tadi.

Salah satu memori yang tidak boleh ku lupakan.

Bahkan, hubungan kami sangat ironi. Bagi ku, sukar hendak dilafazkan dengan kata-kata. Salah seorang manusia yang bisa menyentuh hatiku.
Hampir menitis air mata ku pada petang itu. Perpisahan itu bukan yang sementara.

Mungkin selama-lamanya. Kami akan berjauhan daripada laluan perjuangan tetapi tetap sama terus berjuang.

Hanya mampu ku tuturkan, “Insya’Allah, jika ada jodoh ditemukan Allah, kita akan berjumpa lagi kak.”

Masing-masing hanya tersenyum ,menahan titisan air yang bergenang dihujung mata. Aku berdoa didalam hatiku pada ketika itu,”Ya Allah permudahkanlah usaha kami menjadi wanita solehah yang tetap tegar dalam perjuangan agamaMu ini.Amin.”

Suasana hujan dan sejuk di terminal lapangan terbang seakan-akan merasai mendung dihati kami pada ketika itu.

Seusai salam perpisahan pada petang itu, aku dan seorang sahabat ku meneruskan perjalanan kami. Musafir kerana pulang ke pangkuan keluarga.

Bergegas kami naik bas ke destinasi yang seterusnya. Terburu-buru perjalanan kami supaya dapat mengejar waktu bas ekspress ke kampung halaman masing-masing pada malam itu.

Kakiku pula tetap perit. Tapi perlu ku gagahi kerana aku pasti Allah sedang melihat sejauh mana keyakinan ku terhadap-Nya.

Setelah 30 minit bas bertolak, masing-masing tenggelam dengan pemikiran sendiri. Sahabatku perlahan-lahan mengalunkan zikir al-mathurat. Aku mengambil al-Quran . Menyambung semula penelitian ku kepada surah al-Hujurat, antara surah yang banyak menyentuh mengenai persaudaraan dan persahabatan.

Akhirnya kami sampai juga di destinasi yang kedua. Sementara menunggu seorang sahabat mengambil kami , aku berehat dibangku yang berhampiran. Cuba mengurut kaki yang berdenyut-denyut dari tadi.Sementara mata pula asyik liar memandang telatah manusia.

Namun pandanganku terpaku pada seorang pak cik tua yang sedang menarik begnya. Kali ini berderai jua titisan air mata.

Berusaha pak cik itu mengangkat beg biru yang dibawa. Disebelah bahu kirinya ada lagi sebuah beg . Begitu juga di tangan kanan.

Mana mampu dia mengangkat beg yang berat itu. Perlahan-lahan dengan menggunakan tongkat dia cuba menyangkutkan tali beg biru dihujung tongkat. Kemudian menyeret beg itu. Namun berkali-kali tali terlepas dihujung tongkat.

Terasa menitik setitis air mata di tudung. Berbaur perasaan.Antara pilu,sedih dan kecewa. Pilu kerana hanya boleh memandang. Sedih, dengan keuzurannya. Kecewa, dimanakah anak-anaknya ketika itu.

Kaki yang sakit ini seakan hendak berlari dan membantunya. Apakan daya aku juga kesuntukan masa.

Terdetik di hati.“Ya Allah. Permudahkanlah perjalanannya.”
dan

“Kuatkanlah aku untuk berbakti kepada orang tuaku. Bahagiakanlah hati mereka dengan rahmatMu, serta ampunkanlah kami sebagai hambaMu, yang penuh khilaf ini.”

Tersedar aku dari kesayuan pabila sahabat yang ditunggu telah tiba.

Kemudian, pada malam itu sahabat seperjalananku berpisah ke kampung halaman masing-masing.

Aku pulang dengan satu tekad dihati. Membawa agenda besar untuk keluargaku. Demi kebaikan dan kebahagiaan kami bersama.

Kerna ku pasti janji Allah pasti tiba.

Sunday, May 9, 2010

Wanita disisi Hassan al-banna..


Sebenarnya sudah lama saya mencari-cari kisah wanita muslimah di belakang Imam Hasan Al-Banna. Sukar juga sebenarnya kerana tidak banyak yg diperkatakan tentang beliau, sayap kiri As-Syahid. Alhamdulillah, suatu hari Allah mempertemukan saya dengan kisahnya, kisah yang sudah lama ingin saya ketahui.

Kita banyak membaca kisah-kisah wanita teladan dari zaman lampau, kadangkala terasa ingin mengetahui kisah zaman ini kerana situasi, latar tempat, masa dan cabarannya berbeza. Saya rasa itu penting dalam kita membaca kisah yg terdahulu, carilah juga suntikan dari zaman sendiri, kisah yang lebih dekat. Sebagaimana pesan Saidina Ali r.a.:

"Didiklah anak-anakmu sesuai mengikut zamannya"

Pesan ini menunjukkan peri pentingnya untuk kita hidup berpijak pada zaman sendiri, usah terlalu idealistik sehingga tidak realistik. Ingin saya kongsikan buat semua kisah wanita dibelakang mujahid ummah yang ulung ini. Moga bermanfaat.

Dia adalah Lathifah As Suri. Dia berdiri disamping Imam Syahid Al Banna. Sejak awal Imam Syahid telah menegaskan bahawa ia inginkan seorang muslimah yang tegar, yang tak lekang dan surut oleh banyaknya halangan dan rintangan dalam berda’awah. Tidak mudah menjadi isteri seorang Hasan Al Banna. Seseorang yang setiap detik kehidupannya sarat dengan kegiatan da’awah. Di pagi buta dia sudah bergegas untuk memulakan berda’wah dan kembali pulang di gelap malam. Boleh dipastikan ia adalah seorang muslimah sejati, yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Imam Syahid Al Banna.

Perjuangan Imam Syahid bukanlah suatu hal yang main-main, bukan hanya sekadar da’awah seperti kebanyakan orang waktu itu. Bukan hanya sekadar membangun rumah ibadat. Imam As- syahid sedang dan hendak membangun sebuah peradaban. Dan ia percaya, peradaban tak akan pernah wujud, tanpa seseorang yang ia yakini kesetiaannya. Maka siapapun itu-pendampingnya-harus menyedari bahawa dipundaknya ada amanah yang sama besarnya dengan apa yang di impikan oleh Imam Syahid. Ada dimensi waktu disitu. Maka pertemuan diyakini menjadi suatu hal yang mahal bagi Imam Syahid dan isterinya. Maka bagi Lathifah As Suri menjadi isteri Hasan Al Banna menyimpan begitu banyak cabaran. Sejak awal pernikahan, Lathifah sudah menyedari bahawa dia harus bersedia jika sampai waktu dia harus menjalani hidup bersendirian tanpa seseorang, tempat berlabuh hidup dan cintanya.

Da’wah & Rumah Tangga

Da’wah Ikhwan yang dipimpin oleh suaminya banyak meminta risiko yang bukan ringan-ringan. Penjara bahkan nyawa menjadi penamat logik, yang bila-bila masa boleh menyapanya. Tanpa diminta, Lathifah sudah tahu dan mengerti bagaimana ia harus menempatkan dirinya. Ia memutuskan menutup seluruh aktiviti luarnya. Hanya satu yang ia curahkan, jihad utamanya adalah dilingkup rumahnya sendiri. Mengurus rumah tangga dan membesarkan anak-anak mereka berdua adalah dua hal yang tidak kalah pentingnya dengan yang dilakukan oleh Hasan Al Banna.

Sebelum menikah dengan Hasan Al Banna, Lathifah berasal dari keluarga yang taat beragama. Hingga tak hairan jika ia menyedari betul tuntutan hidup menjadi isteri seorang daie. Malam, dia harus rela untuk terbangun menyambut kepulangan suaminya. Walau jarang-jarang berlaku, Imam As-Syahid sangat berhati-hati, bahkan hanya untuk membuka pintu rumahnya sekalipun. Jauh dilubuk hatinya, Imam As- Syahid tidak ingin mengganggu tidur bidadari kekasihnya yang telah seharian mengurus rumah dan anak-anak mereka berdua. Imam As- Syahid bahkan tak segan untuk menyiapkan makan malam untuk dirinya sendiri.

Wanita, Isteri & Ibu

Lathifah tidak pernah mengeluh, walau seharian hanya ia habiskan seputar rumah dan rumah saja. Ia tidak pernah menuntut lebih kepada Imam As- Syahid. Padahal, Lathifah pun -berlepas diri dari ia seorang isteri Imam As- Syahid- menyimpan banyak potensi. Anak-anak mereka yang berjumlah enam orang sesungguhnya adalah curahan tumpuannya menjalani hidup. Satu-satunya yang pernah membuat dirinya bingung adalah, ketika salah satu anak mereka sakit kuat dan Imam As- Syahid perlu tetap menjalankan jihadnya. Ia bertanya kepada suaminya,”Bagaimana jika ia meninggal?”. Imam As-Syahid hanya menarik nafas panjang, dan kemudian berkata “Bapa saudaranya lebih tahu bagaimana mengurusnya.” Sejak hari itu, Lathifah menanamkan wawasan keIslaman kepada anak-anaknya. Mendorong mereka untuk membaca, sehingga dalam hidupnya mereka tidak terpengaruh dengan seruan-seruan yang meruntuhkan. Ketika Imam As-Syahid keluar-masuk penjara, Lathifah berusaha bersabar .

Lathifah sangat menyedari peranan dan kewajiban asasi seorang wanita sebagai isteri dan ibu bagi anak-anaknya. Dia mengosongkan waktunya untuk mendidik anak-anaknya. Dia bahagia melihat anak-anaknya berjaya dalam hal akhlak dan amal. Ini tak mungkin terjadi jika seorang ibu sibuk di luar rumah. Seorang anak tidak mungkin belajar tentang akhlak dan amal dari orang selain ibunya. Ketika Hasan Al-Banna syahid, anak-anaknya belumlah dewasa. Lathifah tidak lantas menyerah. Tak ada resah ataupun ketakutan dalam hatinya. Ia sangat memelihara apa yang dikehendaki oleh almarhum suaminya. Ia tetap berusaha didalam rumah. Lathifah tidak meremehkan hudud (batasan) yang Allah tentukan. Kerananya, tidak hairan diantara anak-anaknya tidak ada ikhtilat (percampuran) - antara anak-anaknya dan sepupunya yang berlainan jenis.
Pengetahuan & Perjuangan

Tidak ada yang berubah dirumah itu, apa yang Imam As-Syahid inginkan berlaku dalam keluarganya masih tetap di pegang teguh oleh Lathifah. Sendirian, ia membesarkan keenam anaknya. Dirumahnya kini ia mempunyai tugas tambahan, yaitu memperdalam wawasan keIslamannya.Yang dimaksud dengan wawasan keIslamannya adalah membaca Al-Quran dengan tafsirnya, mempelajari Sunnah Rasulullah SAW, haditsnya dilanjutkan dengan usaha kuat untuk menerapkannya. Lathifah juga masih menyempatkan diri mempelajari sejarah para salafussalih dan berita dunia Islam. Lathifah menyedari mengenepikan masalah ini akan menghasilkan persoalan serius. Seorang yang tidak menambah pengetahuan keIslamannya, akan merasa sulit untuk bangga dengan keagungan dan kebesaran Islam. Dengan melalui pemahaman keIslaman yang baik, seorang wanita akan menyedari betapa penting peranannya terhadap keluarga dan masyarakat.

Perjuangan Lathifah membuahkan hasil yang gemilang. Semua anaknya berjaya meraih kelulusan formal dalam pendidikan ilmiah. Yang sulung, bernama Wafa-menjadi isteri Dr.Said Ramadhan. Kedua Ahmad Saiful Islam, pernah duduk di parlimen. Ketiga bernama Tsana, kini sebagai pengajar di Universiti Cairo. Kelima Roja, kini menjadi doktor. Dan Halah sebagai doktor pakar anak di Universiti al-Azhar. Dan terakhir, Istisyhad sebagai doktor ekonomi Islam. Semuanya itu sebagai bukti, betapa berertinya peranan Ibu bagi keberhasilan da’wah sang suami. Selain juga untuk anak-anaknya…..



Buat saya dan kalian

Kisah Lathifah, bidadari hidup As-syahid Hassan Al-Banna boleh kita jadikan contoh untuk membakar spirit perjuangan kita, banyak lagi kisah-kisah srikandi yang lain.

Andai dipanjangkan umur, perjalanan hidup kita masih jauh, saat ini masih di kampus, 2,3 tahun mendatang alam baru akan ditempuhi. Saya menyeru diri dan teman-teman, kita perlukan persiapan yang kukuh untuk sebuah perjuangan hidup yang panjang. Saya kira kita tidak perlu segan unutuk berbicara tentang Baitu Da’wah yang akan masing-masing kita bina.



Tapaknya adalah kefahaman Islam yang sebenarnya, memahami tuntutan sebuah perjuangan, bukan tuntutan nafsu, kerana ‘Istana’ yang dibina ini juga adalah wasilah untuk kita ke syurga.
Saya dan kalian punya dream yang berbeza, namun pokoknya adalah biar Bait Da’wah yang dibina ini makin menguatkan langkah perjuangan kita, malah menjadi tapak untuk lahirnya generasi yang akan menyambung perjuangan agar Islam kan terus gemilang dengan pendokong-pendokongnya.
Buat akhawat, siapkan diri sepenuhnya kerana kita akan menjadi sayap kiri dalam Bait Da’wah nanti. Andai masa ini kita masih lagi bersikap sambil lewa terhadap amalan diri , kurangnya ilmu, kurang berdisiplin, bersikap negatif..mungkin Bait Da’wah yang akan kita bina nanti hanya tinggal angan kosong.

Moga kita akan menjadi seperti Lathifah, tegar di sisi A-syahid Imam Hassan Al-Banna..
Ya Allah, jadikanlah kami srikandi sejati yang menyedari dan memahami tuntutan perjuangan Islam, tidak kan meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan Ummat, kurniakanlah kami cinta-MU sehingga kami tidka kan pernah meminta cinta selain-MU, dan tidakkan kami goyah pada cinta dunia ini kerana hebatnya rasa penggantungan dan rasa Cinta pad-MU..

Copyrigth @ http://jundatullah.blogspot.com/2010/05/sayap-kiri-al-banna.html