Saturday, May 15, 2010

Satu Tekad..


“Alhamdulillah. Akhirnya sampai juga ke bumi Semenanjung ini.” Aku segera keluar mencari tempat duduk. Terasa sakit kaki ini. Kesan daripada kemalangan beberapa minggu yang lepas masih terasa.

Aku kuatkan hati untuk terus bertahan. Insya’Allah. Sesungguhnya Allah akan menguji kesungguhan hamba-hambaNya.

Selesai menunggu sahabat ku mengambil barang-barang mereka, akhirnya sampai masanya kami berpisah. Sebak dan sayu sebenarnya hati kami pada ketika itu, kerana akan berpisah dengan seorang kakak yang menjadi pembimbing dan penasihat kami selama ini.

Aku dan kakak itu. Pelbagai cabaran yang telah kami tempuhi sepanjang berada di kampus. Pendengar setia kepada bicaraku. Masih aku teringat, dia sanggup menemani aku berkongsi cerita . Pada ketika itu kami duduk di benteng jalan sambil menunggu sahabatku mengambilku yang baru selesai bermesyuarat. Dia tetap menahan matanya sambil mengukir senyuman kerana ku.Biarpun jam menunjukkan hampir pukul 3 pagi. Serta pada ketika itu kami masing-masing keletihan setelah bertungkus lumus memerah minda di dalam mesyuarat tadi.

Salah satu memori yang tidak boleh ku lupakan.

Bahkan, hubungan kami sangat ironi. Bagi ku, sukar hendak dilafazkan dengan kata-kata. Salah seorang manusia yang bisa menyentuh hatiku.
Hampir menitis air mata ku pada petang itu. Perpisahan itu bukan yang sementara.

Mungkin selama-lamanya. Kami akan berjauhan daripada laluan perjuangan tetapi tetap sama terus berjuang.

Hanya mampu ku tuturkan, “Insya’Allah, jika ada jodoh ditemukan Allah, kita akan berjumpa lagi kak.”

Masing-masing hanya tersenyum ,menahan titisan air yang bergenang dihujung mata. Aku berdoa didalam hatiku pada ketika itu,”Ya Allah permudahkanlah usaha kami menjadi wanita solehah yang tetap tegar dalam perjuangan agamaMu ini.Amin.”

Suasana hujan dan sejuk di terminal lapangan terbang seakan-akan merasai mendung dihati kami pada ketika itu.

Seusai salam perpisahan pada petang itu, aku dan seorang sahabat ku meneruskan perjalanan kami. Musafir kerana pulang ke pangkuan keluarga.

Bergegas kami naik bas ke destinasi yang seterusnya. Terburu-buru perjalanan kami supaya dapat mengejar waktu bas ekspress ke kampung halaman masing-masing pada malam itu.

Kakiku pula tetap perit. Tapi perlu ku gagahi kerana aku pasti Allah sedang melihat sejauh mana keyakinan ku terhadap-Nya.

Setelah 30 minit bas bertolak, masing-masing tenggelam dengan pemikiran sendiri. Sahabatku perlahan-lahan mengalunkan zikir al-mathurat. Aku mengambil al-Quran . Menyambung semula penelitian ku kepada surah al-Hujurat, antara surah yang banyak menyentuh mengenai persaudaraan dan persahabatan.

Akhirnya kami sampai juga di destinasi yang kedua. Sementara menunggu seorang sahabat mengambil kami , aku berehat dibangku yang berhampiran. Cuba mengurut kaki yang berdenyut-denyut dari tadi.Sementara mata pula asyik liar memandang telatah manusia.

Namun pandanganku terpaku pada seorang pak cik tua yang sedang menarik begnya. Kali ini berderai jua titisan air mata.

Berusaha pak cik itu mengangkat beg biru yang dibawa. Disebelah bahu kirinya ada lagi sebuah beg . Begitu juga di tangan kanan.

Mana mampu dia mengangkat beg yang berat itu. Perlahan-lahan dengan menggunakan tongkat dia cuba menyangkutkan tali beg biru dihujung tongkat. Kemudian menyeret beg itu. Namun berkali-kali tali terlepas dihujung tongkat.

Terasa menitik setitis air mata di tudung. Berbaur perasaan.Antara pilu,sedih dan kecewa. Pilu kerana hanya boleh memandang. Sedih, dengan keuzurannya. Kecewa, dimanakah anak-anaknya ketika itu.

Kaki yang sakit ini seakan hendak berlari dan membantunya. Apakan daya aku juga kesuntukan masa.

Terdetik di hati.“Ya Allah. Permudahkanlah perjalanannya.”
dan

“Kuatkanlah aku untuk berbakti kepada orang tuaku. Bahagiakanlah hati mereka dengan rahmatMu, serta ampunkanlah kami sebagai hambaMu, yang penuh khilaf ini.”

Tersedar aku dari kesayuan pabila sahabat yang ditunggu telah tiba.

Kemudian, pada malam itu sahabat seperjalananku berpisah ke kampung halaman masing-masing.

Aku pulang dengan satu tekad dihati. Membawa agenda besar untuk keluargaku. Demi kebaikan dan kebahagiaan kami bersama.

Kerna ku pasti janji Allah pasti tiba.

Sunday, May 9, 2010

Wanita disisi Hassan al-banna..


Sebenarnya sudah lama saya mencari-cari kisah wanita muslimah di belakang Imam Hasan Al-Banna. Sukar juga sebenarnya kerana tidak banyak yg diperkatakan tentang beliau, sayap kiri As-Syahid. Alhamdulillah, suatu hari Allah mempertemukan saya dengan kisahnya, kisah yang sudah lama ingin saya ketahui.

Kita banyak membaca kisah-kisah wanita teladan dari zaman lampau, kadangkala terasa ingin mengetahui kisah zaman ini kerana situasi, latar tempat, masa dan cabarannya berbeza. Saya rasa itu penting dalam kita membaca kisah yg terdahulu, carilah juga suntikan dari zaman sendiri, kisah yang lebih dekat. Sebagaimana pesan Saidina Ali r.a.:

"Didiklah anak-anakmu sesuai mengikut zamannya"

Pesan ini menunjukkan peri pentingnya untuk kita hidup berpijak pada zaman sendiri, usah terlalu idealistik sehingga tidak realistik. Ingin saya kongsikan buat semua kisah wanita dibelakang mujahid ummah yang ulung ini. Moga bermanfaat.

Dia adalah Lathifah As Suri. Dia berdiri disamping Imam Syahid Al Banna. Sejak awal Imam Syahid telah menegaskan bahawa ia inginkan seorang muslimah yang tegar, yang tak lekang dan surut oleh banyaknya halangan dan rintangan dalam berda’awah. Tidak mudah menjadi isteri seorang Hasan Al Banna. Seseorang yang setiap detik kehidupannya sarat dengan kegiatan da’awah. Di pagi buta dia sudah bergegas untuk memulakan berda’wah dan kembali pulang di gelap malam. Boleh dipastikan ia adalah seorang muslimah sejati, yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Imam Syahid Al Banna.

Perjuangan Imam Syahid bukanlah suatu hal yang main-main, bukan hanya sekadar da’awah seperti kebanyakan orang waktu itu. Bukan hanya sekadar membangun rumah ibadat. Imam As- syahid sedang dan hendak membangun sebuah peradaban. Dan ia percaya, peradaban tak akan pernah wujud, tanpa seseorang yang ia yakini kesetiaannya. Maka siapapun itu-pendampingnya-harus menyedari bahawa dipundaknya ada amanah yang sama besarnya dengan apa yang di impikan oleh Imam Syahid. Ada dimensi waktu disitu. Maka pertemuan diyakini menjadi suatu hal yang mahal bagi Imam Syahid dan isterinya. Maka bagi Lathifah As Suri menjadi isteri Hasan Al Banna menyimpan begitu banyak cabaran. Sejak awal pernikahan, Lathifah sudah menyedari bahawa dia harus bersedia jika sampai waktu dia harus menjalani hidup bersendirian tanpa seseorang, tempat berlabuh hidup dan cintanya.

Da’wah & Rumah Tangga

Da’wah Ikhwan yang dipimpin oleh suaminya banyak meminta risiko yang bukan ringan-ringan. Penjara bahkan nyawa menjadi penamat logik, yang bila-bila masa boleh menyapanya. Tanpa diminta, Lathifah sudah tahu dan mengerti bagaimana ia harus menempatkan dirinya. Ia memutuskan menutup seluruh aktiviti luarnya. Hanya satu yang ia curahkan, jihad utamanya adalah dilingkup rumahnya sendiri. Mengurus rumah tangga dan membesarkan anak-anak mereka berdua adalah dua hal yang tidak kalah pentingnya dengan yang dilakukan oleh Hasan Al Banna.

Sebelum menikah dengan Hasan Al Banna, Lathifah berasal dari keluarga yang taat beragama. Hingga tak hairan jika ia menyedari betul tuntutan hidup menjadi isteri seorang daie. Malam, dia harus rela untuk terbangun menyambut kepulangan suaminya. Walau jarang-jarang berlaku, Imam As-Syahid sangat berhati-hati, bahkan hanya untuk membuka pintu rumahnya sekalipun. Jauh dilubuk hatinya, Imam As- Syahid tidak ingin mengganggu tidur bidadari kekasihnya yang telah seharian mengurus rumah dan anak-anak mereka berdua. Imam As- Syahid bahkan tak segan untuk menyiapkan makan malam untuk dirinya sendiri.

Wanita, Isteri & Ibu

Lathifah tidak pernah mengeluh, walau seharian hanya ia habiskan seputar rumah dan rumah saja. Ia tidak pernah menuntut lebih kepada Imam As- Syahid. Padahal, Lathifah pun -berlepas diri dari ia seorang isteri Imam As- Syahid- menyimpan banyak potensi. Anak-anak mereka yang berjumlah enam orang sesungguhnya adalah curahan tumpuannya menjalani hidup. Satu-satunya yang pernah membuat dirinya bingung adalah, ketika salah satu anak mereka sakit kuat dan Imam As- Syahid perlu tetap menjalankan jihadnya. Ia bertanya kepada suaminya,”Bagaimana jika ia meninggal?”. Imam As-Syahid hanya menarik nafas panjang, dan kemudian berkata “Bapa saudaranya lebih tahu bagaimana mengurusnya.” Sejak hari itu, Lathifah menanamkan wawasan keIslaman kepada anak-anaknya. Mendorong mereka untuk membaca, sehingga dalam hidupnya mereka tidak terpengaruh dengan seruan-seruan yang meruntuhkan. Ketika Imam As-Syahid keluar-masuk penjara, Lathifah berusaha bersabar .

Lathifah sangat menyedari peranan dan kewajiban asasi seorang wanita sebagai isteri dan ibu bagi anak-anaknya. Dia mengosongkan waktunya untuk mendidik anak-anaknya. Dia bahagia melihat anak-anaknya berjaya dalam hal akhlak dan amal. Ini tak mungkin terjadi jika seorang ibu sibuk di luar rumah. Seorang anak tidak mungkin belajar tentang akhlak dan amal dari orang selain ibunya. Ketika Hasan Al-Banna syahid, anak-anaknya belumlah dewasa. Lathifah tidak lantas menyerah. Tak ada resah ataupun ketakutan dalam hatinya. Ia sangat memelihara apa yang dikehendaki oleh almarhum suaminya. Ia tetap berusaha didalam rumah. Lathifah tidak meremehkan hudud (batasan) yang Allah tentukan. Kerananya, tidak hairan diantara anak-anaknya tidak ada ikhtilat (percampuran) - antara anak-anaknya dan sepupunya yang berlainan jenis.
Pengetahuan & Perjuangan

Tidak ada yang berubah dirumah itu, apa yang Imam As-Syahid inginkan berlaku dalam keluarganya masih tetap di pegang teguh oleh Lathifah. Sendirian, ia membesarkan keenam anaknya. Dirumahnya kini ia mempunyai tugas tambahan, yaitu memperdalam wawasan keIslamannya.Yang dimaksud dengan wawasan keIslamannya adalah membaca Al-Quran dengan tafsirnya, mempelajari Sunnah Rasulullah SAW, haditsnya dilanjutkan dengan usaha kuat untuk menerapkannya. Lathifah juga masih menyempatkan diri mempelajari sejarah para salafussalih dan berita dunia Islam. Lathifah menyedari mengenepikan masalah ini akan menghasilkan persoalan serius. Seorang yang tidak menambah pengetahuan keIslamannya, akan merasa sulit untuk bangga dengan keagungan dan kebesaran Islam. Dengan melalui pemahaman keIslaman yang baik, seorang wanita akan menyedari betapa penting peranannya terhadap keluarga dan masyarakat.

Perjuangan Lathifah membuahkan hasil yang gemilang. Semua anaknya berjaya meraih kelulusan formal dalam pendidikan ilmiah. Yang sulung, bernama Wafa-menjadi isteri Dr.Said Ramadhan. Kedua Ahmad Saiful Islam, pernah duduk di parlimen. Ketiga bernama Tsana, kini sebagai pengajar di Universiti Cairo. Kelima Roja, kini menjadi doktor. Dan Halah sebagai doktor pakar anak di Universiti al-Azhar. Dan terakhir, Istisyhad sebagai doktor ekonomi Islam. Semuanya itu sebagai bukti, betapa berertinya peranan Ibu bagi keberhasilan da’wah sang suami. Selain juga untuk anak-anaknya…..



Buat saya dan kalian

Kisah Lathifah, bidadari hidup As-syahid Hassan Al-Banna boleh kita jadikan contoh untuk membakar spirit perjuangan kita, banyak lagi kisah-kisah srikandi yang lain.

Andai dipanjangkan umur, perjalanan hidup kita masih jauh, saat ini masih di kampus, 2,3 tahun mendatang alam baru akan ditempuhi. Saya menyeru diri dan teman-teman, kita perlukan persiapan yang kukuh untuk sebuah perjuangan hidup yang panjang. Saya kira kita tidak perlu segan unutuk berbicara tentang Baitu Da’wah yang akan masing-masing kita bina.



Tapaknya adalah kefahaman Islam yang sebenarnya, memahami tuntutan sebuah perjuangan, bukan tuntutan nafsu, kerana ‘Istana’ yang dibina ini juga adalah wasilah untuk kita ke syurga.
Saya dan kalian punya dream yang berbeza, namun pokoknya adalah biar Bait Da’wah yang dibina ini makin menguatkan langkah perjuangan kita, malah menjadi tapak untuk lahirnya generasi yang akan menyambung perjuangan agar Islam kan terus gemilang dengan pendokong-pendokongnya.
Buat akhawat, siapkan diri sepenuhnya kerana kita akan menjadi sayap kiri dalam Bait Da’wah nanti. Andai masa ini kita masih lagi bersikap sambil lewa terhadap amalan diri , kurangnya ilmu, kurang berdisiplin, bersikap negatif..mungkin Bait Da’wah yang akan kita bina nanti hanya tinggal angan kosong.

Moga kita akan menjadi seperti Lathifah, tegar di sisi A-syahid Imam Hassan Al-Banna..
Ya Allah, jadikanlah kami srikandi sejati yang menyedari dan memahami tuntutan perjuangan Islam, tidak kan meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan Ummat, kurniakanlah kami cinta-MU sehingga kami tidka kan pernah meminta cinta selain-MU, dan tidakkan kami goyah pada cinta dunia ini kerana hebatnya rasa penggantungan dan rasa Cinta pad-MU..

Copyrigth @ http://jundatullah.blogspot.com/2010/05/sayap-kiri-al-banna.html

Thursday, May 6, 2010

...Barakah itu..


Apa yang dituliskan ini hanyalah semata-mata demi Allah dan rasa nilainya sahabat kepada sahabat.
Sebelum itu, lapangkanlah dada, bukakanlah hati kepada perkongsian dari sahabatmu ini..

Takdir yang telah Allah susun kepada hambaNya…
Tidak terjangka dan terduga bentuk ujian dariNya… Dirimu juga telah diuji oleh Allah dan kini Allah uji sekali lagi.

Ujian Allah dalam memperbaiki hambaNya, dan menapis hati manusia dalam menyediakan diri kembali tulen dan bersih semasa berhadapan dengan Allah di akhirat kelak. Hikmah ujian..

Cuma niat dihati hanyalah perkongsian sebagai seorang sahabat dalam membantu sahabatnya..

Tentang, Hakikat Kebahagiaan Hati…

Bahagianya hati apabila semua yang dilakukan kerana Allah… kerana itu tujuan akhir kita sebagai hambaNya..keberkatan dan keredhaan Allah yang ingin dicapai dicapai didunia..tiada sebab utama yang lain..

Didunia Allah berikan kebahagiaan sementara dalam bentuk harta dan keluarga….pendokong perjuangan yang sentiasa diinginkan setiap insan.. Nikmat dari Allah SWT…Ujian bagi yang beriman dan laknat bagi yang kufur…

Cuma

Tanya kepada hati, apakah yang dimahukan dalam ikatan dua hati kerana Allah iaitu sunnatullah yang menjadi ikutan hingga kiamat iaitu perkahwinan..
Adakah cukup rasa kasih dua insan, tanpa berkat dan redha ibu bapa?....

Ataupun sahabat,,,

Adakah lengkap kedua-dua hati bertaut tanpa barakah sebelum perkahwinan yang sepatutnya terjaga dalam batas syariatnya?...

Barakah yang telah Allah janjikan kepada pembina masjid dengan lafaz akad pernikahan…
Barakah sebelum perkahwinan yang akan menjamin kemanisan rumah tangga berkekalan sehingga ke syurga…

Yang akan mengukuhkan langkah perjuangan hingga ke akhir zaman yang telah dijanjikan Allah didalam al-Quran…

Barakah ini juga yang telah dijamin Allah selepas lafaz pernikahan yang menjamin terpeliharanya bakal keluarga dari kemurkaan Allah berpanjangan..serta melahirkan zuriat yang soleh dan solehah..penyambung generasi islam….

Sebagai orang yang menyayanginya,
bantulah dia sebagai seorang wanita dan lelaki muslim ,
Sebagai seorang anak perempuan dan anak lelaki kepada seorang ibu dan ayah,
Sebagai seorang kakak dan abang kepada adik,
adik kepada abang dan kakak…
Sebagai sahabat kepada sahabat muslimin dan muslimah…
Dan juga sebagai hamba kepada Allah…
Dan bukan sebagai orang yang disayangi didalam hati, kerana dirinya masih haram bagimu…

Bahkan Syurganya masih dibawah telapak kaki ibunya… amanah nya masih kepada keluarga ..
Hak keluarganya ke atasnya masih 100%...
Tanda sayang kepada insan lain adalah redho apa yang terbaik yang telah Allah tetapkan kepadanya..

Yakin kepada takdir Allah,, tetapi sebelum tue berusaha dengan doa kepada Allah…

Yakin kepada jodoh yang Allah akan berikan selagi hati ikhlas membina bait al muslim kerana Allah….

Kerana inilah konsep baitul muslim secara syari’e….

Yakinlah dirimu, mampu kuat mengawal diri, bersihkan hati dari unsur maksiat peluang syaitan memasuki hati yang pastinya boleh mempertaruhkan usaha dakwah yang dijalankan oleh pemimpin Islam kerana didalam dakwah, kita berusaha menarik hati-hati manusia kea rah kebaikan..

Janganlah mudah menyalahkan sahabat mu ini..bukan bererti tidak memahami tetapi sebagai rasa sayang kepada sahabat seagama, cuba melindungi sahabat sendiri…

Cuma mungkin sedikit salah faham kerana ketidak telusan dalam persahabatan, yang perlu di perbaiki… Tiada sahabat yang berniat menyusahkan sahabatnya…
Jalan kebaikan telah dibukakan dihadapan, terpulanglah kepada insan, untuk memilih dan melaluinya..

Teruskan berusaha …

Kerana ikatan tanpa syarie tidak menjanjikan apa-apa hak kita keatas
pasangan…malahan mengundang ujian besar iman kita…

Pertunangan adalah adat
dan pernikahan…ikatan sebenar didalam islam…

tetapi hakikatnya kita tidak mampu… dan ketidakmampuan inilah halangan terbesar,,dan merupakan ujian Allah kepadamu dan sebagai petunjuk bahawa Allah yang memegang hati manusia,,dan kita sebagai hamba perlu merendahkan diri memohon pertolongan kepadaNya dalam dipermudahkan urusan..

Ini sekadar perkongsian, terpulanglah kepadamu untuk menilainya…

Maaf seandainya apa yang dituliskan disini telah mengguris hati ataupun mengundang rasa kecewa kerana merasakan sahabatmu ini tidak memahami, ataupun melemahkan hati kerana unsur-unsur kata yang tidak memberi motivasi…
Cukuplah sahabatmu ini ulangi bahawa sahabatmu memahami.. selebihnya terpulang kepada penilaianmu.

Cuma niat dihati untuk membantu dirimu dalam memahami realiti yang selalu melukakan hati.. sebagai persediaan hidup di syurga yang lebih abadi..

Wallahua’alam…

Semoga Allah permudahkan setiap urusan hambaNya didunia sebagai jambatan ke akhirat….